SEGAMAT: Rata-rata anak jati Segamat yang keluar merantau dari daerah ini untuk mencari rezeki lega dengan keadaan gempa yang mulai reda.
Cuti hujung minggu yang panjang sempena Hari Kebangsaan ke-68 baru-baru ini dimanfaatkan untuk pulang ke kampung halaman di Segamat untuk melawat kedua ibu bapa yang masih menetap di sini.
Menurut Mohd. Faiz Ahmad, 40, dia yang berkelana ke Kuala Lumpur untuk bekerja merasa amat bimbang akan keselamatan kedua ibu bapanya di Segamat rentetan gegaran gempa bumi lemah yang berlaku baru-baru ini.
“Apabila saya mendapat tahu kejadian gempa bumi berlaku di Segamat, saya terus berasa bimbang kerana kedua ibu bapa saya hanya tinggal berdua sahaja di Segamat.
“Kedua-dua mereka warga emas. Jadi sebagai anak sudah pasti saya risau akan keadaan mereka.
“Saya menelefon mereka bertanya keadaan di sana dan gegaran itu dirasai agak kuat kerana Segamat tidak pernah mengalami kejadian bencana alam itu.
“Alhamdulillah hujung minggu baru-baru ini saya telah pulang ke kampung bersama isteri dan anak-anak dan semuanya berada dalam keadaan baik-baik sahaja,”katanya ketika ditemui di Kampung Lubok Batu, di sini.
Tambah Mohd Faiz, isterinya Syakirah Taher, 39, juga berasal dari Kampung Jawa, Segamat pulang menjenguk kedua ibu bapa serta adiknya yang berada di sini.
Mohd Faiz juga bercadang membawa kedua ibu bapanya serta kedua ibu bapa mentuanya tinggal di Kuala Lumpur buat sementara waktu kerana bimbang akan keadaan gempa bumi susulan sejak minggu lalu.
“Saya ada bercadang mahu membawa ibu, bapa saya serta kedua ibu bapa mentua saya tinggal di rumah saya di Kuala Lumpur kerana bimbang gempa di Segamat.
“Tetapi setelah pulang melihat sendiri keadaan bandar ini yang dalam keadaan selamat dan terkawal, saya batalkan hasrat itu.
“Saya yakin dengan janji pihak berkuasa, serta kerajaan yang menjamin keselamatan penduduk di Segamat walaupun gegaran gempa bumi ini boleh terjadi lagi,”kongsinya.
Pada 24 Ogos 2025, rakyat Malaysia digemparkan dengan gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 skala Richter buat pertama kalinya di Segamat, Johor bersama dentuman kuat dan disusuli dengan enam lagi gegaran susulan dalam tempoh satu minggu. – UTUSAN