SEPANG: Pasangan selebriti, Fattah Amin dan Amira Othman selamat diijabkabul tepat pukul 9.08 malam dengan sekali lafaz.
Pasangan itu dinikahkan Datuk Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan disaksikan bapa Amira, Othman Abdul Kadir dan saksi lain.
Fattah, 35, juga menyerahkan seutas gelang emas sebagai mas kahwin dengan lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dari pihak Amira.
Bertemakan serba putih, Amira, 31, anggun menyarung busana rekaan Teh Firdaus manakala Fattah pula segak berbaju Melayu rekaan Rizman Ruzaini.
Majlis yang berlangsung secara eksklusif di Golden Palm Tree di sini hanya dihadiri ahli keluarga, saudara-mara dan rakan rapat pasangan berkenaan, menjadikan suasana lebih intim dan penuh makna.
Saksikan Siaran Langsung Eksklusif Majlis Ijab Kabul Setulus Takdir: Fattah Amira melalui aplikasi Unifi TV 2.0, saluran Inspirasi pada 14 September 2025, jam 8 malam! Muat turun sekarang di: onelink.to/unifitv.
Sebelum ini, Fattah membuat kejutan istimewa di majlis pelancaran single terbaru Amira dan adiknya, Irfan Haris berjudul Rasa & Takdir.
Fattah mengakui status perhubungan mereka dan pasangan itu bakal diijabkabulkan pada 14 September ini yang juga merupakan tarikh kelahiran aktor itu.
Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga sebelum berpisah dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, kini berusia lima tahun.-UTUSAN