KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan sewaan penjana, Express Powerr Solutions (M) Bhd. membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 21.5 sen sesaham atau 7.5 peratus lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 20 sen sesaham.
IPO itu melibatkan jumlah dagangan sebanyak 28.44 juta saham dengan lebih 66.21 juta saham bertukar tangan.
Pengarah Urusan, Lim Cheng Ten berkata, sejak 20 tahun lalu, syarikat telah membina reputasi kukuh dalam menyediakan perkhidmatan sewaan penjana yang boleh dipercayai meliputi situasi kecemasan, penyelenggaraan terancang dan sebagai sokongan bagi penganjuran acara.
“Pada masa ini, kami menguasai 7.8 peratus pegangan pasaran industri sewaan jentera ringan dan peralatan di Malaysia dan terus mengembangkan jejak perniagaan kami di seluruh negara.
“Pada Julai 2025, kami telah melebarkan operasi ke Pulau Pinang dan Kelantan selepas memperoleh dua surat lantikan untuk menyediakan perkhidmatan sewaan penjana di negeri-negeri berkenaan.
“Pada masa hadapan, modal baharu yang diperoleh daripada penyenaraian ini akan menyokong peluasan seterusnya, membolehkan kami meningkatkan kehadiran di pasaran di samping terus membekalkan kuasa kepada infrastruktur kritikal negara.
“Kini, perkhidmatan sewaan penjana kami meliputi lapan negeri di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, sekali gus menjadi asas kepada peluasan menyeluruh di seluruh negara,” katanya ketika sidang akhbar selepas penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia Securites Berhad, semalam.
Express Powerr telah berjaya meraih RM36 juta menerusi IPO dan akan memperuntukkan RM20.5 juta (56.9 peratus) bagi pembelian penjana, RM5.0 juta (13.9 peratus) untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM4.1 juta (11.3 peratus) untuk pembelian peralatan voltan sederhana dan tinggi, RM2.2 juta (6.2 peratus) bagi modal kerja am, serta RM4.2 juta (11.7 peratus) untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.
Sementara itu, dalam keputusan belum diaudit bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, syarikat melaporkan hasil berjumlah RM13 juta dengan keuntungan bersih sebanyak RM3.1 juta.
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2025, hasil syarikat mencecah RM25.8 juta manakala keuntungan bersih dicatatkan pada RM6 juta.
Segmen perkhidmatan sewaan penjana merupakan penyumbang utama hasil, merangkumi kira-kira 97.1 peratus daripada jumlah pendapatan Express Powerr bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini diikuti segmen penyelesaian solar fotovoltaik sebanyak 2.9 peratus.
Mengulas mengenai pengukuhan kedudukan pasaran dan merebut peluang baharu, Lim berkata, pihaknya akan membeli 36 generator bagi menambah kapasiti dan melengkapkan peralatan voltan sederhana dan tinggi bagi menyokong operasi tambahan dan mengukuhkan pasaran.
“Saya menjangka untuk berpindah masuk ke ibu pejabat baharu awal tahun depan. Selain itu, syarikat juga sedang dalam proses melatih pasukan untuk mempercepatkan kepakaran khususnya dalam solar PV bagi menyokong pertumbuhan perniagaan ini di samping memberi fokus pemasangan sistem solar dilakukan di kediaman dan komersial,” katanya.
Beliau turut mengulas peningkatan kualiti perkhidmatan dengan mengambil lebih ramai kakitangan teknikal yang berkelayakan dalam tempoh tiga tahun.
“Tenaga kerja sudah pun bertambah, dari hanya satu staf jualan pada 2024 kini meningkat kepada tiga staf jualan. Ini bagi memenuhi permintaan lebih tinggi, khususnya berkaitan sektor tenaga, pembinaan, minyak dan gas.
“Bagi segmen menembusi pasaran baharu, syarikat merancang untuk mengembangkan operasi ke Pulau Pinang, Kelantan, Labuan Sabah khususnya bagi minyak dan gas serta Sarawak akan dijalankan,” katanya. – UTUSAN










