Erra Fazira nafi bakal kahwin Oktober - Utusan Malaysia

Erra Fazira nafi bakal kahwin Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Primadona, Erra Fazira, menafikan khabar angin bakal melangsungkan perkahwinan dengan usahawan, Ezwan Zain, pada bulan Oktober ini.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, berkata, spekulasi tersebut tidak berasas kerana sehingga kini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara keluarga kedua-dua belah pihak, termasuk urusan merisik.

“Kalau betul saya bakal berkahwin bulan hadapan, sudah tentu saya tidak berada di sini kerana sibuk dengan persiapan.

“Tidak adil untuk membuat kenyataan sebegitu sedangkan keluarga saya dan dia (Ezwan) belum tahu apa-apa.

“Jika ada yang berkata begitu, saya anggap ia sekadar angan-angan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program riadah bersama media yang berlangsung di sini hari ini.

Mengulas lanjut, bintang filem Sembilu itu menjelaskan, meskipun terdapat pihak yang menyuarakan hasrat untuk menjadi penaja rasmi majlis perkahwinannya, perkara itu masih belum dibincangkan secara serius.

“Memang ada pihak yang mahu menaja dan saya hargai niat mereka.

“Namun, perbincangan lanjut hanya akan dibuat selepas saya benar-benar bersedia, ada tarikh rasmi dan mendapat restu keluarga,” ujarnya.

Tambah Erra, sekiranya benar beliau dan Ezwan mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga, perkara itu tidak akan dirahsiakan daripada umum.

“Ini bukan perkara baharu buat kami. Kami tidak lagi berada dalam fasa mahu heboh-heboh.

“Kalau boleh, saya mahu semuanya berjalan dengan matang. Orang sudah tahu kami berkawan. Jadi, cukup sekadar beri restu, doakan dan teruskan perjalanan. Saya mahu perkara ini jadi mudah,” katanya lagi.

Terdahulu, Erra mengesahkan bahawa beliau kini berada dalam fasa mengenali hati budi Ezwan, yang juga dikenali sebagai ‘Mr. E’.

Difahamkan, kedua-dua keluarga sudah saling bertemu beberapa kali dalam suasana tidak rasmi.

Sementara itu, Ezwan turut pernah memberi bayangan bahawa beliau serius dalam hubungan tersebut dan tidak menolak kemungkinan membawa ikatan itu ke arah perkahwinan apabila tiba masa yang sesuai. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN