Empat ditahan cuba seleweng minyak sawit mentah bernilai RM1.1 juta - Utusan Malaysia

Empat ditahan cuba seleweng minyak sawit mentah bernilai RM1.1 juta

ANGGOTA penguat kuasa memeriksa lori tangki yang digunakan bagi memindahkan minyak sawit secara haram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya menggagalkan cubaan menyeleweng minyak sawit mentah bernilai kira-kira RM1.1 juta dalam Op Taring Palma di Kerian kelmarin.

Operasi oleh Cawangan Risik Briged Utara yang bermula pada pukul 8.30 hingga 12 malam itu turut dibantu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dan Jabatan Siasatan dan Pe­nguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya merampas 85,580 kilogram minyak sawit mentah selain dua buah lori tangki, sebuah lori bonded, pelbagai peralatan untuk memindahkan minyak sawit dan empat unit telefon bimbit.

Katanya, empat lelaki warga tempatan berusia antara 26 hingga 44 tahun turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan itu.

“Pasukan operasi telah mengesan dua lori tangki membawa muatan mencurigakan di kawasan Kerian dan disyaki melakukan aktiviti penyelewengan minyak sawit mentah.

“Kenderaan itu diekori sehingga tiba di Kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Bukit Merah arah utara di mana proses pemindahan minyak sawit mentah dilakukan dengan memindahkan minyak dari lori tangki ke dalam sebuah lori bonded” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 15 tong biru berkapasiti 200 liter setiap satu di dalam lori bonded serta beberapa peralatan yang digunakan bagi memindahkan minyak sawit mentah.

Katanya, kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada MPOB Wilayah Utara untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 5, Peraturan–Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.

“Dalam operasi itu, saman turut dikeluarkan terhadap suspek atas kesalahan trafik di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN