KOTA KINABALU: Prosiding inkues yang bermula kira-kira pukul 3 petang tadi menjadi ‘gelap’ apabila bekalan elektrik tiba-tiba terputus.
Keadaan itu menyebabkan suasana dalam dewan turut menjadi senyap sunyi seketika.
Pada ketika itu, gambar mayat Zara Qairina Mahathir sedang ditayangkan di monitor televisyen dan Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu sedang menunjukkan kesan luka di belakang kepala remaja terbabit.
Hujan juga sedang turun ketika tayangan dilakukan.
“Ini pertama kali berlaku ini,” kata Koroner Amir Shah Amir Hassan secara spontan sebelum keadaan kembali cerah tidak lama kemudian.
Suasana formal inkues bertukar sedikit santai sewaktu Dr. Jessie ditanya oleh peguam, Rizwandean M. Borhan yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.
Rizwandean: Dalam kes ini, (Zara Qairina) dicampak dari tingkat tiga, mendarat dengan kaki dahulu, mengalami pelbagai kecederaan yang teruk, bukankah dia sepatutnya menjerit kesakitan?
Dr. Jessie: Saya tidak tahu, saya hanya memeriksa orang dah mati.
Jawapan tersebut dan reaksi Dr. Jessie yang tiba-tiba menjadi kalut kerana berkemungkinan risau jawapannya itu kedengaran tidak sopan mengundang senyum buat mereka yang berada di mahkamah.
“Maafkan saya, maafkan saya,” katanya berulang kali.
Dr. Jessie yang merupakan saksi pertama inkues selesai memberi keterangannya hari ini.
Pakar terbabit dipanggil semula untuk menyambung keterangannya selepas lawatan ke Asrama Rabiatul Adawiyah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan, Papar.
Pada lawatan itu, demonstrasi jatuhan menggunakan patung dilakukan bagi memberikan gambaran lebih jelas mengenai kemungkinan cara Zara Qairina jatuh sehingga mengalami kecederaan teruk.
Antara kecederaan yang dialami pada bahagian kaki remaja terbabit adalah lebam pada pergelangan kaki kanan, patah remuk di bahagian distal tibia kanan melibatkan sendi pergelangan kaki serta luka melecet pada kaki kiri.
Turut terdapat lebam pada pergelangan kaki dan kaki kiri, bahagian distal tibia kiri hancur dan senget, patah remuk pada bahagian kalkaneum (tulang tumit) dan tulang sendi buku lali terkehel.-UTUSAN










