Toh Ee Wei terima insentif RM50,000 daripada Kerajaan Melaka

Toh Ee Wei terima insentif RM50,000 daripada Kerajaan Melaka

RAUF Yusoh (tengah) menerima kunjungan Toh Ee Wei (dua dari kiri) di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Atlet badminton negara, Toh Ee Wei yang menjuarai kategori beregu campuran di Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis bulan lalu menerima insentif kemenangan sebanyak RM50,000 daripada kerajaan negeri.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, insentif tersebut diberikan kepada anak jati Melaka itu selepas mengharumkan nama Malaysia bersama pasangannya, Chen Tang Jie.

Beliau berkata, sumbangan khas itu diharap menjadi penyuntik semangat buat semua wira dan wirawati kelahiran Melaka untuk berjaya di pentas antarabangsa.

“Saya menerima tetamu istimewa hari ini apabila dikunjungi oleh jaguh badminton negara yang juga anak kelahiran Melaka, Toh Ee Wei yang memenangi Kejohanan Dunia di Paris. Kerajaan negeri bersetuju untuk menyampaikan sumbangan insentif khas kemenangan sebanyak RM50,000 di atas kejayaannya mengharumkan nama Malaysia khususnya Melaka di persada dunia.

“Saya turut berbangga dan menyambut baik hasrat Ee Wei yang bercadang untuk menubuhkan sebuah akademi badminton di Melaka. Ia sebagai satu cara beliau berbakti kepada negeri kelahirannya, selain mahu melahirkan lebih ramai jaguh sukan badminton,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Gandingan Tang Jie dan Ee Wei hanya memerlukan 40 minit untuk menyingkirkan beregu nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin untuk bergelar juara dunia.

Pada aksi dramatik di Adidas Arena itu, pasangan nombor empat dunia itu menang straight set 21-15, 21-14, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan beregu campuran Malaysia sejak kejohanan itu dianjurkan pada 1977. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN