KEPALA BATAS : Dua pemandu maut manakala seorang penumpang parah dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Shah Bandar, Taman Bertam Perdana di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, Tan Kwang Sin, 56, yang memandu Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Proton Iswara, Muhamad Haziq Adnan, 22, pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Sementara itu, seorang lagi mangsa iaitu penumpang wanita bagi Perodua Myvi cedera parah selepas mengalami patah tangan kiri akibat kemalangan tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 6.29 petang.
Katanya, sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam dengan dibantu oleh BBP Kepala Batas kemudian segera digerakkan ke lokasi kejadian sejauh lima kilometer (km) bagi melaksanakan operasi penyelamatan.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati, ketiga-tiga mangsa tersepit dalam kenderaan masing-masing dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian menggunakan peralatan khas kebombaan untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang terlibat.
“Mangsa yang cedera diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi menerima rawatan susulan manakala mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambah beliau, operasi berkenaan tamat sepenuhnya kira-kira pukul 7.48 malam tadi.-UTUSAN