KUALA LUMPUR: Penyanyi, Dayang Nurfaizah, 44, pada showcase Janji With Dayang semalam memberi persembahan bertenaga meskipun diuji dengan masalah kesihatan.
Dayang, meskipun mengalami demam, tetap melunaskan hasrat peminat yang lama menanti peluang untuk hadir ke showcase tersebut.
“Memang saya tidak sihat. Kalau boleh, saya tak mahulah kongsi pasal ini. Tetapi, saya terpaksa cerita apabila ditanya tentangnya.
“Saya tak mahu jadikan masalah kesihatan ini sebagai alasan untuk tidak memberikan persembahan yang terbaik.
“Tugas saya adalah menghiburkan peminat yang datang malam ini (semalam). Jadi, biarlah peminat tak tahu. Saya cuma harapkan mereka gembira, seronok dan berpuas hati dengan persembahan saya,” katanya.
Dayang pada showcase semalam di Menara Kuala Lumpur menghiburkan dengan rangkaian lagu-lagu baru dan lamanya.
Antara lagu yang dihadiahkan Dayang pada malam semalam antaranya Janji, Tulus, Dunia Lain, Aku, Andai Ku Tahu dan banyak lagi.
Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu turut menyampaikan dua lagu istimewa, Mencintai Cinta yang liriknya ditulis Allahyarham Rudy Imran Shamsudin serta Hakikat Cinta ciptaan Allahyarham Adnan Abu Hassan.
Showacase Janji With Dayang menyaksikan kehadiran rakan-rakan artis memberi sokongan antaranya Ziana Zain, Anuar Zain, Hael Husaini, Fara Fauzana Aisha Retno, Hun Haqeem, Sophia Albarakbah dan ramai lagi.
Komposer tersohor, Ajai turut membuat kejutan menerusi kemunculannya menyampaikan trofi Album Terbaik yang dimenangi Dayang sempena Anugerah Industri Muzik ke-24.
Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty meluahkan rasa gembira kerana berpeluang menggembirakan peminatnya menerusi showcase tersebut.
“Saya sangat bersyukur. Cuaca elok tak hujan, Alhamdulillah.
“Gembira hati saya bila tengok peminat seronok. Saya nak berkongsi memori indah dengan mereka.
“Apa yang penting peminat terhibur,” katanya lagi.- UTUSAN