SEPANG: Rekod kewangan ahli keluarga atau rakan sekutu kepada individu yang telah ditahan berhubung sindiket ‘counter setting’ turut akan diperiksa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, siasatan yang dijalankan itu akan melibatkan sesiapa sahaja yang didapati mempunyai kaitan dengan individu terbabit.
“Siapa pun yang berkaitan dengan mereka kita akan siasat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 Tahun 2025 di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, 18 pegawai agensi penguat kuasa antara 27 individu direman kerana disyaki terlibat dengan sindiket ‘counter setting’ bagi melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.
Penahanan kesemua individu terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an adalah menerusi operasi di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Azam menjelaskan, ada di antara mereka yang ditahan memberi alasan bahawa wang yang diperoleh itu diberikan oleh pihak lain.
“Sekarang kita akan memanggil pihak yang disebut itu sebagai saksi dan mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan mereka memberikan wang kepada pegawai kerajaan.
“Dalam hal ini, kita akan buat siasatan lanjut. Aliran wang tidak terlalu panjang kerana ia tidak membabitkan sektor korporat, namun mereka tetap perlu menjawab bagaimana wang itu diperoleh,” katanya.
Kata Azam, SPRM juga perlu mendapatkan keterangan saksi mengenai bagaimana mereka yang telah ditahan mampu untuk membeli kenderaan mewah, membuka perniagaan dan memiliki sejumlah wang tunai.
“Berhubung dengan siasatan ini, pegawai-pegawai penyiasat bukan sahaja menyiasat kes rasuah dan salah guna kuasa, kita juga melakukan siasatan dibawah akta pengubahan wang haram dan juga kita lihat aset-aset yang disita.
“Mereka yang terlibat ini, akan ada yang kita siasat berhubung harta dan wang tunai, dan mereka akan diberi notis tertentu untuk mengisytiharkan harta mereka, bukan semua, tapi akan ada yang perlu diisytiharkan.
“Sebagai contoh yang membuka kedai emas, ini semua akan dipersoalkan, bagaimana peroleh wang tersebut dan punca wang itu diperolehi. Siasatan ini masih mengambil masa kerana kita baru sahaja mulakan dalam tempoh dua minggu,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa setakat ini tiada sebarang tangkapan baharu dibuat berhubung kes counter setting, namun SPRM akan terus menumpukan perhatian terhadap proses siasatan ke atas individu yang telah ditahan serta mereka yang dipercayai sebagai rakan sekutu.
Dalam pada itu, Azam memberitahu bahawa Jabatan Imigresen (JIM) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) mengenai jumlah wang tunai yang dibenarkan untuk dibawa oleh anggota mereka ketika menjalankan tugas.
“Kalau tak silap saya, JIM mempunyai SOP mereka sendiri mengenai berapa jumlah wang yang boleh dipegang oleh anggota bertugas pada satu-satu masa. Amaun itu berapa banyak saya tak berapa pasti, mungkin boleh tanya dengan Ketua Pengarah JIM mengenai jumlah sebenar,” ujarnya.
Dalam Ops Rentas yang dijalankan serentak di empat negeri sejak Selasa minggu lalu, Bahagian Perisikan SPRM mengesan ada pegawai Imigresen menyimpan hasil rasuah lebih RM1 juta dalam akaun Tabung Haji (TH), selain lebih RM400,000 dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).
SPRM Selangor dalam Ops Rentas di negeri itu, menyita pelbagai barangan mewah termasuk barang kemas kira-kira 3.2 kilogram bernilai RM1.6 juta dan 75 kepingan emas bernilai kira-kira RM400,000 daripada enam individu termasuk lima pegawai Imigresen bertugas di pintu masuk negara.
Selain itu, sepasang suami isteri pegawai imigresen yang direman di Melaka, bukan setakat mengumpul kekayaan dengan membeli barangan kemas tetapi mampu membuka sebuah kedai emas dengan simpanan logam itu bernilai RM1.4 juta, hasil rasuah memanipulasi proses pemutihan pendatang tanpa izin sebagai pekerja asing di negara ini.
Pasangan suspek berusia 40-an itu dikesan SPRM membuka kedai emas di Pahang, bermodalkan wang rasuah RM600,000 yang dikumpul sejak 2020.
Bagi melindungi kegiatan mereka, pasangan terbabit melantik adik kepada pegawai wanita berkenaan dan anak sendiri sebagai pengendali premis itu. – UTUSAN










