KUANTAN: Kemalangan pesawat pejuang F/A-18D Hornet di Pangkalan Udara Kuantan, di sini bulan lalu disahkan berpunca daripada serangan burung (birdstrike) yang menyebabkan kegagalan fungsi enjin kiri pesawat ketika fasa berlepas.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, penemuan itu diperoleh hasil siasatan awal Lembaga Siasatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bermula 22 Ogos lalu.
Katanya, siasatan itu dilaksanakan dengan bantuan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Jabatan Kimia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy).
“Hasil analisis melibatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), data daripada sistem Deployable Flight Incident Recorder System (DFIRS) dengan kerjasama US Navy serta dapatan teknikal daripada Jabatan Kimia Malaysia, STRIDE, PDRM dan Perhilitan.
“Semua maklumat itu mengukuhkan dapatan bahawa kemalangan adalah berpunca daripada birdstrike membabitkan seekor burung spesies bangau dikenali Purple Heron,” katanya dalam sidang akhbar khas di Pangkalan Udara Kuantan, di sini hari ini.
Muhamad Norazlan berkata, jenis burung itu dikenal pasti hasil ujian dijalankan daripada cebisan tulang haiwan terbabit yang ditemukan dalam enjin pesawat serta dengan bantuan Perhililtan.
“Kemalangan ini tidak dapat dielakkan walaupun prosedur menghalau haiwan liar termasuk burung sudah dilakukan sebelum pesawat berkenaan berlepas. Ini bukan kali pertama kejadian birdstrike namun sebelum ini tidak menggugat keselamatan. Kejadian kali ini lebih buruk disebabkan saiz burung bangau yang agak besar,” katanya.
Susulan hasil siasatan itu, katanya, pengoperasian pesawat F/A-18D Hornetditeruskan seperti biasa malah pesawat buatan Amerika Syarikat itu telah memulakan penerbangan pertama hari ini selepas digantung operasi sejak insiden berkenaan.
Sementara itu, Muhamad Norazlan berkata, kedua-dua anak kapal itu kini masih dalam proses pemulihan sehingga 2 Oktober ini sebelum menjalani ujian tahap kesediaan untuk kembali menerbangkan pesawat.
Kemalangan pada malam 21 Ogos lalu itu dioperasikan oleh juruterbang pesawat, Mejar Azhar Alang Kamarudin, 34, dan jurusensor senjata, Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28.
Mejar Azhar mengalami kecederaan kesan terbakar pada bahagian kaki kiri manakala Kapten Mohamad Izzuddin pula dikesan mempunyai kesan lebam-lebam pada beberapa bahagian badan. – UTUSAN










