BUDI95 kaedah paling efektif tangani ketirisan

BUDI95 kaedah paling efektif tangani ketirisan

MOHAMMED Taufiq Johari (tiga kanan) meninjau keadaan Surau Kampung Telok yang usang di Sungai Petani, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Inisiatif Bantuan Madani Ron95 (BUDI95) merupakan kaedah paling efektif dalam menangani ketirisan subsidi bahan api sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, meskipun terdapat pelbagai pandangan mengenai kaedah pelaksanaan BUDI95, pihaknya yakin kerajaan melalui kementerian terlibat akan memperbaiki perkara tersebut dari masa ke semasa.

Katanya, langkah kerajaan itu diyakini berjaya menutup ruang penyelewengan yang sebelum ini turut membabitkan penggunaan subsidi oleh jutaan warga asing.

“Saya percaya kerajaan mengambil maklum semua cadangan dan saranan mana-mana pihak, namun apa yang dilaksanakan ketika ini adalah paling efektif untuk memastikan subsidi diberikan kepada mereka yang layak.

“Kerajaan melalui kementerian terlibat juga sentiasa terbuka melakukan penambahbaikan dari masa ke semasa termasuk menyelesaikan isu teknikal yang timbul,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Surau Kampung Telok, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Koordinator Gerakan Melawan Penindasan Petani (Gempita), Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang mendakwa BUDI95 hanya berasaskan logik pemilik kenderaan semata-mata tanpa mengambil kira penggunaan petrol dalam kerja-kerja sawah

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh itu juga mencadangkan kerajaan mewujudkan kad petrol khas bagi pesawah supaya mereka turut mendapat akses terus kepada subsidi bahan api mengikut keperluan sektor pertanian.

Terdahulu, Mohammed Taufiq mengumumkan peruntukan RM100,000 melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menaik taraf Surau Kampung Telok yang usang selepas masalah itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN