ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan Mesyuarat Majlis Tertingginya dalam tempoh seminggu akan datang bagi memutuskan siapa calon Perdana Menteri daripada gabungan itu.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua kepimpinan parti dalam gabungan tersebut akan menghadiri mesyuarat itu kelak.
“Kita akan panggil dan bincang di peringkat Majlis Tertinggi PN, saya pun sudah maklum kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang tadi yang kita akan panggil mesyuarat berkaitan perkara itu dalam masa seminggu ke depan,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-71 di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi bahawa Pas kini bersedia untuk memimpin Malaysia dengan menampilkan calon Perdana Menteri dalam kalangan pemimpinnya.
Mengulas lanjut, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, pihaknya bersikap terbuka dengan kenyataan pemimpin Pas yang ingin menerajui PN termasuk menampilkan calon Perdana Menteri daripada parti itu.
“Kita bersikap terbuka, tidak ada apa-apa masalah jadi kita bincang dan kalau keputusan majoriti dan muktamad siapa Perdana Menteri kita akan terima.
“Perkara itu adalah hak bagi Pas untuk mencalonkan apa sahaja, baik dari segi soal Pengerusi PN ataupun calon Perdana Menteri, masing-masing menyuarakan pandangan di muktamar dan kami di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu,” katanya.
Menjawab dakwaan berlaku krisis dalaman PN ekoran perkembangan terkini itu, Muhyiddin menafikannya dengan menyifatkan ia sekadar persepsi mereka yang tidak selesa dengan hubungan rapat Pas dan Bersatu.
“Kami cukup mesra, tidak ada apa-apa masalah mungkin setengah orang suka cerita pasal itu sebab kita rapat. Tetapi bagi saya yang sudah lama pimpin PN, tujuh tahun perjalanan bagus dan kita mencipta kejayaan besar, banyak kerusi yang menang dalam pilihan raya.
“Jadi apakah sebab ada timbul masalah apa-apa dan kerjasama kami baik di Parlimen dan di negeri, kita dengan Pas dalam hal isu berkaitan rakyat kita bincangkan baik-baik,” jelasnya.
Katanya, penting bagi parti dalam PN untuk mempunyai penyatuan yang kukuh di semua peringkat terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) ini.
“Bukan sahaja di peringkat tertinggi, yang penting di peringkat bawah, bahagian dan akar umbi sekali supaya PN jelas dilihat sebagai kuat dan kukuh lebih-lebih lagi nak menghadapi PRU16,” katanya. – UTUSAN









