KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan kekal menyokong Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti itu sekali gus menafikan dakwaan enam bahagian di negeri ini menolak kepemimpinan bekas Perdana Menteri kelapan tersebut.
Setiausaha Bersatu negeri, Mohd. Wira Arjuna Muhamad berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan menolak kepemimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu.
“Jika ada mana-mana ahli atau pemimpin yang menyatakan pendirian berbeza, ia adalah pendapat peribadi semata-mata.
“Kenyataan itu sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi Bersatu Kelantan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya enam daripada 14 ketua bahagian Bersatu Kelantan mengakui menandatangani akuan bersumpah (SD) yang mendesak Muhyiddin dengan memberikan jawatan berkenaan kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Seorang ketua bahagian Bersatu yang enggan dikenali berkata, enam ketua bahagian berkenaan antara 120 ketua bahagian yang hadir pada pertemuan di ibu negara awal bulan ini.
Mohd. Wira Arjuna berkata, kenyataan sumber rasmi itu menimbulkan persepsi seolah-olah ada keraguan daripada Bersatu Kelantan terhadap Presiden.
Katanya, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2025 lalu perwakilan sebulat suara telah memberi mandat kepada Muhyiddin telah untuk terus menerajui Bersatu sehingga tamat penggal pada tahun 2027. – UTUSAN










