Berhutang RM68 juta, CEO gaji RM48,000 sebulan - Rahim Tamby Chik

Berhutang RM68 juta, CEO gaji RM48,000 sebulan – Rahim Tamby Chik

ABDUL Rahim Tamby Chik (tiga dari kanan) menyerahkan peti aduan Bara kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (tiga dari kiri) pada majlis perasmian Bara di Peringgit, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Terdapat agensi kerajaan negeri yang berhutang sehingga RM68 juta manakala ketua pegawai eksekutif (CEO) dibayar gaji sebanyak RM48,000 sebulan, itu dakwaan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Abdul Rahim berkata, hutang keseluruhan agensi, badan berkanun dan syarikat kerajaan negeri mungkin berjumlah lebih RM400 juta.

Katanya, perkara itu didedahkan sendiri oleh penjawat awam negeri yang berani tampil membuat aduan.

“Setelah disemak kita dapati aduan tersebut adalah sahih dan tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Misalnya hutang keseluruhan agensi, badan berkanun dan syarikat kerajaan mungkin berjumlah lebih RM400 juta.

“Malah ada agensi yang berhutang RM68 juta dan CEO dibayar gaji sebanyak RM48,000 sebulan. Semua laporan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ini hanya ditulis ‘ketirisan’ tetapi tiada penjelasan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran Biro Aduan Rakyat (Bara) di sini, semalam.

Abdul Rahim berkata, rakyat Melaka khususnya penjawat awam negeri diminta tampil melaporkan salah laku tadbir urus dan penyelewengan kepada Bara untuk diambil tindakan sewajarnya.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, setiap aduan akan diteliti dan disemak kesahihannya dengan penuh tanggungjawab sebelum disalurkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan segera.

“Aduan meliputi permasalahan rakyat, isu kepentingan awam dan salah guna kuasa. Bersatu melalui Bara akan menjadi benteng suara rakyat dan memastikan tiada pihak yang dipinggirkan.

“Jangan takut untuk tampil kerana identiti pengadu akan dirahsiakan, malah menggunakan nama samaran tetap diterima. Pengadu hanya perlu mengisi borang dan masukkan ke dalam peti aduan yang diletakkan di setiap bahagian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×