Belum terima surat saman ibu bapa pelajar - Asyraf Wajdi

Belum terima surat saman ibu bapa pelajar – Asyraf Wajdi

ASYRAF Wajdi Dusuki (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang peserta pada Majlis Peluncuran Halal Learning Provider di Kolej Profesional Mara Bandar Melaka, Melaka hari ini. - UTUSAN/ MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan belum menerima sebarang surat saman daripada ibu bapa bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dibuang kerana kesalahan buli.

Beliau berkata, ibu bapa pelajar yang tidak berpuas hati tidak mempunyai asas yang kukuh untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya dan Mara.

“Setakat ini saya belum terima apa-apa surat tuntutan lagi. Sebenarnya saya pun tertanya-tanya atas alasan apa hendak saman kerana proses yang kami lakukan itu mengikut apa yang ada dalam peraturan Mara.

“Kami bukan mahkamah untuk tentukan secara tuntas bersalah atau tidak tapi prinsip saya jelas. Walaupun tidak popular dan ramai yang mempersoalkan konteks you touch you go tetapi itulah yang memberikan gambaran keseriusan kita dalam menangani isu buli tanpa mengira darjat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Peluncuran Halal Learning Provider di Kolej Profesional Mara Bandar Melaka di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Asyraf mendedahkan ada ibu bapa bekas pelajar MRSM mahu memfailkan saman terhadapnya dan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu kerana bertindak tegas dalam mengendalikan kes buli.

Tambahnya, amaran yang diberikan itu bukan baharu sebaliknya setiap pelajar yang diterima masuk ke MRSM perlu menandatangani aku janji.

Menurutnya, pendirian tergas tersebut adalah daripada Mara sendiri yang tidak akan berkompromi terhadap isu buli.

“Jangan sampai ada kehilangan nyawa baru hendak bertindak. Jadi ini adalah pendirian di peringkat Mara sendiri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN