KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berharap Belanjawan 2026 akan memberi fokus kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi, dengan tumpuan khusus kepada penskalaan PMKS.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata KUSKOP telah mengadakan libat urus dengan Menteri Kewangan dan pasukan belanjawan bagi menyampaikan pandangan serta harapan dengan mengambil kira input daripada agensi kerajaan, usahawan PMKS, dan koperasi di seluruh negara.
“Fokus ini selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 yang menekankan pembangunan berterusan PMKS, perusahaan sosial, perniagaan inklusif serta pengembangan industri francais.
“Syor-syor belanjawan kami adalah berasaskan kepada tiga tumpuan ini,” katanya ketika merasmikan SME Bank XCESS 2025, di sini hari ini.
Tambahnya, sokongan daripada kerajaan membantu memberi impak positif kepada usahawan PMKS.
“Dengan sokongan kerajaan melalui Belanjawan 2026, kami yakin gerakan keusahawanan ini dapat terus berkembang dan memberi impak positif kepada ekonomi negara,”katanya
Sementara itu, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Mohammad Hardee Ibrahim, berkata tumpuan utama SME Bank dalam industri adalah sektor halal, perusahaan sosial, dan eksport.
“Pembiayaan kontrak daripada kerajaan dan agensi juga menjadi antara fokus penting kami.
“Selain itu, kami juga menitikberatkan aspek lain di luar pembiayaan. Di bawah SME Bank, terdapat subsidiari iaitu Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR) yang menumpukan sepenuhnya kepada pembangunan kapasiti usahawan,” katanya. – UTUSAN










