PETALING JAYA: Bekas kartunis Utusan Malaysia, Nazri Mohd. Salleh, 62, atau lebih dikenali dengan nama pena Miki meninggal dunia di Hospital Kajang (Hospital Tengku Permaisuri Norashikin) dekat sini, petang tadi.
Allahyarham yang pernah berkhidmat di Jabatan Rekabentuk dan Pengarang dikenang sebagai antara kartunis berbakat yang mencorakkan ruangan kartun akhbar ini pada era kegemilangannya.
Selepas menamatkan perkhidmatan di Utusan Malaysia, Allahyarham terus aktif dalam bidang seni sebagai kartunis bebas (freelance) dengan menghasilkan pelbagai karya dan menerima tempahan lukisan.
Allahyarham terkenal dengan karya ‘Mat Top’ yang kini disiarkan di Mingguan Malaysia.
Beliau juga pernah mengusahakan perniagaan sendiri sebelum menutupnya, namun minat dan kecintaannya terhadap dunia seni tidak pernah pudar sehingga akhir hayat.
Menurut ahli keluarga, arwah ialah seorang yang sentiasa berdedikasi dengan dunia lukisan dan karya kreatif, malah seni menjadi sebahagian daripada dirinya.
Jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang ke kediaman keluarganya sebelum disemadikan di tanah perkuburan berdekatan. – UTUSAN










