Bayaran bukan sebab utama, jika sudah serasi saya tidak berkira - Erra Fazira

Bayaran bukan sebab utama, jika sudah serasi saya tidak berkira – Erra Fazira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Erra Fazira, menegaskan bahawa bayaran bukanlah penentu utama dalam menerima tawaran sebagai duta jenama, sebaliknya keserasian yang diberi oleh pihak syarikat.

Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, beliau menganggap kerjasama sebagai duta bukan sekadar meletakkan wajah pada produk, sebaliknya merupakan komitmen yang memerlukan usaha dua hala.

“Bayaran yang ditawarkan saya anggap sebagai pintu sahaja. Apabila pintu sudah terbuka, kita perlukan keserasian untuk teruskan. Bila sudah serasi, saya tidak berkira sangat, malah kadang-kadang saya beri lebih daripada apa yang diminta oleh pihak mereka.

“Perlu ada konsep ‘give and take’. Sebagai duta, saya anggap ia satu tanggungjawab.

“Ada masanya saya bertanya juga bagaimana prestasi jualan atau perkara yang boleh saya bantu dari segi promosi,” jelasnya.

Erra ditemui Utusan Malaysia semasa majlis pelancaran produk baharu Captain Dolphin, baru-baru ini.

Tambah Erra, kerjasama yang dijalin memerlukan komitmen dan komunikasi berterusan, sama seperti hubungan perkahwinan yang perlu saling menyokong antara satu sama lain.

“Saya anggap bila jadi duta ini macam berkahwin, kedua-dua pihak kena gembira, kena sokong antara satu sama lain. Kadang-kadang saya sendiri yang hubungi mereka untuk tawarkan ucapan atau idea promosi, dengan harapan ia dapat beri impak positif kepada jenama,” katanya lagi.

Pemenang Anugerah Primadona Telenovela, Anugerah Telenovela Ke-9 itu turut menegaskan bahawa beliau hanya akan menerima tawaran yang selari dengan nilai dan imej dirinya sebagai seorang artis.

“Saya kena kenal dan sukakan produk itu dahulu. Ada juga tawaran yang saya tolak secara berhemah kerana tidak sesuai dengan imej atau situasi saya sekarang. Mereka faham dan menghormati keputusan saya,” katanya.

Tambah Erra, zaman artis hanya dijadikan duta tanpa peranan aktif sudah berlalu, kini pengguna lebih bijak menilai kesungguhan jenama dalam menjalinkan kolaborasi yang bermakna.

“Sekarang ini tak cukup hanya guna wajah artis. Kena ada kandungan yang menarik dan relevan. Kedua-dua pihak kena bekerjasama. Sebab itu kalau ada permintaan buat kandungan yang tak sesuai dengan saya, saya akan tolak dengan baik. Saya tak bawa watak orang lain, saya bawa diri saya sendiri,” katanya.

Erra turut meluahkan rasa syukur apabila dilantik sebagai duta Captain Dolphin selama tiga tahun sekali gus berjaya membantu meningkatkan jualan syarikat tersebut sehingga 40 peratus.

“Saya sangat bersyukur kerana pihak Captain Dolphin layan saya macam adik-beradik. Mereka sangat terbuka, sentiasa tanya pendapat saya tentang perisa atau pembungkusan produk.

“Contohnya, perisa limau kasturi antara yang pernah saya cadangkan. Tapi bukanlah bermakna itu idea saya sepenuhnya. Ia hasil perbincangan bersama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Captain Dolphin turut melancarkan enam produk baru iaitu Magic Balls, Crystal Bubble, Coco Cube, Nata De Coco, Jelly Yogurt, dan Pudding Yogurt.

Selain itu, jenama tersebut turut memperkenalkan tiga perisa baharu dalam rangkaian Konjac Jelly, iaitu Calamansi, Caramel dan Cola, yang dijangka mendapat sambutan hangat pengguna. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN