PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah menjelaskan segala kos percutian keluarganya ke Paris baru-baru ini dibiayai sepenuhnya oleh dirinya sendiri tanpa sebarang tajaan daripada mana-mana pihak.
Bella, atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, berkata, pada mulanya beliau ke ibu kota Perancis itu atas urusan kerja bersama jenama fesyen tempatan, Prima Valet.
Bagaimanapun, kesempatan sempena cuti sekolah digunakan sebaiknya untuk membawa bersama ahli keluarga.
“Pada awalnya saya ke sana kerana kerja, tetapi bila sedar ia jatuh pada musim cuti sekolah, saya rasa berat hati untuk tinggalkan anak-anak.
“Lagipun Ayden dan Ara memang sudah lama mahu melihat Paris,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
Menurut Bella, bukan sekadar membawa anak-anak, malah beliau turut menanggung kos perbelanjaan ibu bapa serta adik-beradik yang menyertai percutian itu.
“Alhamdulillah, saya bukan sahaja dapat bawa anak-anak, tetapi juga ibu bapa dan adik saya. Tiket penerbangan serta penginapan semuanya saya tempah sehari sebelum bertolak. Semuanya menggunakan duit sendiri, syukur atas rezeki yang Allah beri,” katanya.
Penyanyi kelahiran Sabah itu turut meluahkan rasa syukur kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga tercinta walaupun dalam kesibukan tugasan kerja.
“Saya sangat seronok dapat menggembirakan mereka, terutama anak-anak. Ia benar-benar menjadi kenangan yang saya akan hargai sepanjang hayat,” katanya lagi.
Terdahulu, timbul spekulasi dalam kalangan netizen mendakwa percutian tersebut ditaja oleh pihak tertentu, namun penjelasan Bella sekali gus menafikan dakwaan tersebut.
Meninjau ruangan komen di media sosial, rata-rata peminat serta rakan artis memuji sikap berdikari dan keprihatinan Bella terhadap keluarga.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq turut memuji keakraban keluarga Bella dengan menyifatkan mereka sebagai keluarga yang rajin dan berbakat.
“Ibu terbaik,” komen pelakon, Siti Khadijah Halim.
“Tak faham Bella tulis apa, cuba kahwin dengan Syed Saddiq, mesti saya faham,” seloroh seorang peminat. -UTUSAN