YAN: ‘Allahuakbar, depa tikam dia dekat mana? Allahuakbar selalu dengar cerita orang lain, ini kena dekat anak sendiri pula.’
Demikian rintihan bapa kepada mangsa lelaki berusia 30 tahun yang ditemukan maut dengan beberapa kesan tikaman di Taman Nona, Guar Chempedak, di sini kira-kira pukul 9.40 malam tadi.
Lelaki warga emas itu dilihat tiba berdekatan lokasi kejadian pada pukul 1.40 pagi dan duduk di bahu jalan sambil melihat pihak polis melakukan siasatan di lokasi kejadian.
Dia turut menceritakan kepada penduduk di situ bahawa anak lelakinya baru sahaja pulang ke rumah dan keluar semula dipercayai untuk menghantar telefon bimbit dipesan pelanggan.
“Anak saya balik sekejap dan ada tinggalkan telefon di rumah sebelum keluar. Tidak lama selepas dia keluar, polis pula sampai (beritahu kejadian).
“Arwah anak yang baik, tak pernah sakitkan hati. Saya berharap kepada dia sahaja dan saya ingat saya yang pergi dulu tapi dia pergi dulu,” katanya sambil memberitahu anaknya membuka kedai membaiki dan menjual telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah di Alor Setar.
Bapa mangsa itu dilihat ditenangkan beberapa individu di situ termasuk ahli keluarga lain yang turut hadir.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan seorang lelaki dan wanita ditemui maut dengan beberapa kesan tikaman pada badan di Taman Nona, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, mangsa lelaki dijumpai dalam keadaan tertiarap di atas jalan di hadapan sebuah rumah di situ, manakala mangsa wanita di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.
Kedua-dua mangsa berusia 30 dan 28 tahun itu yang menaiki kereta Proton Wira dikatakan diserang seorang lelaki dengan senjata tajam.-UTUSAN