PETALING JAYA: Pelakon, Datuk Remy Ishak, mendedahkan kisah penglibatannya dalam dunia seni yang penuh dengan cabaran termasuk pernah ditolak berkali-kali ketika sesi ujibakat.
Menerusi perkongsian di TikTok @sembangseram, Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak,42, berkongsi dia bermula sebagai anak seni dengan menghadiri pelbagai ujibakat namun sering gagal kerana dikatakan tidak memiliki rupa paras komersial.
“Saya cuba dengan uji bakat. Banyak tempat saya cuba dan semua kena tolak sebab katanya saya tiada rupa,” ujarnya.
Pelakon filem Cun itu turut mengimbau kembali kata-kata seorang penerbit yang masih segar dalam ingatannya hingga kini.
“Mereka tanya saya, apa yang saya ada selain boleh berlakon, dalam perniagaan mesti ada sesuatu yang boleh dijual, bukan setakat lakonan.
“Ketika itu zaman pan-asia dan mereka mencari wajah-wajah kacukan seperti Danny X Factor, Diana Danielle. Ada seorang penerbit beritahu saya yang saya ada bakat berlakon tetapi rupa saya tidak boleh dijual,” katanya lagi.
Tambah Remy, oleh kerana itu dia tidak pernah mencuba nasib dalam pertandingan popular seperti Hero Remaja kerana sedar dirinya tidak memenuhi piawai kriteria yang dicari ketika itu.-UTUSAN