KLANG: Kedai runcit dan restoran serta sebuah pusat pelacuran di kawasan komersial Pulau Indah di sini yang terkenal dengan jolokan ‘Bangla Market’ lumpuh selepas bermaharajalela lebih 10 tahun diserbu Jabatan Imigresen Selangor, kelmarin.
Serbuan terhadap lebih 100 premis di sembilan buah blok yang berlangsung lebih dua jam bermula pukul 9.30 malam itu menyaksikan 1,137 warga ditahan di samping pelbagai cubaan melarikan diri.
Antara dikesan termasuklah seorang wanita nekad terjun dari tingkat empat manakala ada warga asing bersembunyi dalam saluran kumbahan.
Wanita tersebut, Adimanda Sari, 32, berkata, dia nekad terjun selepas mendakwa melihat ramai orang secara tiba-tiba melarikan diri menyebabkan dia panik dan terjun ke bawah sebelum jatuh ke atas timbunan sampah.
“Saya nampak kawan terjun, saya pun terjun. Saya ada pasport, tetapi pada kawan, sekarang telefon bimbit sudah hilang, tak dapat hubungi kawan untuk hantar pasport.
“Saya tinggal sini pun baru enam bulan, tiga bulan lalu saya balik sebab visa tamat, kemudian datang lagi ke sini. Kini saya bekerja dekat kilang perabot tak jauh dari sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi wanita dari Padang, Indonesia, Norma Yunita, 41, memberitahu, dia tidak menyangka anaknya yang baru tiba dari kampung terpaksa menghadapi pemeriksaan pihak berkuasa.
”Saya ada dua orang anak, lelaki berusia 21 tahun dan perempuan lima tahun. Anak lelaki baru sampai dari kampung kerana cuti semester. Saya dan suami sudah lapan tahun tinggal di sini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, seramai 662 pendatang tanpa izin (PATI) dikesan dalam pemeriksaan tersebut atas pelbagai kesalahan yang berusia antara 16 hingga 80 tahun.
“Ada dua orang saya kesan tadi tinggal lebih masa sekurang-kurangnya sebulan. Selain itu ada yang tidak mempunyai pas atau dokumen yang sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja.
“Mereka akan dibawa ke Ibu pejabat Imigresen Selangor untuk diperiksa sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Semenyih bagi tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dn Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” katanya.
Serbuan sama turut membongkar aktiviti persundalan dijalankan lapan wanita disyaki warga Indonesia, Myanmar dan Vietnam yang didakwa menawarkan perkhidmatan tersebut bermula harga RM150 hingga RM300 kepada pekerja asing di kawasan berkenaan
Kesemua mereka dipercayai menyewa di premis berkenaan bagi tujuan tersebut dengan kadar sewa sekitar RM400 hingga RM800 sebulan pada bilik yang dilengkapi penghawa dingin.-UTUSAN










