Ayob dedah Al-Qaeda berkumpul di KL rancang serang aset AS

Ayob dedah Al-Qaeda berkumpul di KL rancang serang aset AS

PERISTIWA serangan 11 September 2001 di New York. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tarikh 11 September 2001 akan terus dikenang dalam sejarah dunia sebagai serangan pengganas paling besar pernah dilancarkan ke atas Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua agensi keselamatan dan perisikan di seluruh dunia turut tergamam dengan impak, perancangan teliti, komitmen dan keberanian Kumpulan Al-Qaeda yang mendalangi serangan tersebut.

Namun, katanya apa yang tidak diketahui umum adalah penglibatan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM dalam mengumpul maklumat perisikan awal mengenai kehadiran operatif Al-Qaeda di Malaysia pada Disember 1999.

Katanya, PDRM ketika itu berjaya mengumpul dan menyalurkan maklumat perisikan mengenai kehadiran operatif Al-Qaeda di Malaysia sejak Disember 1999 iaitu 22 bulan sebelum tragedi berdarah 11 September 2001 ke atas AS.

Berkongsi penglibatannya dalam mengumpul maklumat risikan kehadiran anggota kanan Al-Qaeda di Malaysia iaitu Khalid Al-Mihdhar, Ayob Khan berkata, ketika itu Cawangan Khas diterajui Datuk Yusof Rahaman turut berkongsi maklumat itu dengan pihak AS.

“Salah satu maklumat diperoleh adalah daripada agensi perisikan AS pada akhir Disember 1999 mengenai kehadiran anasir-anasir Al-Qaeda di Kuala Lumpur, namun tidak mendedahkan tujuan dan perancangan operatif tersebut di Malaysia.

“Pada 4 Januari 2000 agensi perisikan AS menyalurkan maklumat tambahan yang lebih terperinci mengenai penerbangan, butir-butir peribadi dan gambar Khalid Al-Mihdhar (KAM) anggota kanan Al-Qaeda yang akan memasuki Malaysia melalui KLIA,” katanya dalam satu catatan di Facebooknya semalam.

Ayob Khan berkata, beliau dan dua lagi pegawai iaitu Inspektor Mohd. Raby dan Inspektor Ooi Yuet Kueh bergerak ke KLIA pada hari dimaklumkan untuk memantau dan mengesahkan kehadiran lelaki tersebut.

Katanya, selepas mengesahkan kehadiran individu tersebut, beliau tak menyangka itulah suspek yang kemudiannya bersama empat lagi anggota Al-Qaeda terlibat dalam merampas dan merempuh Bangunan Pentagon pada 11 September 2001 sehingga mengorbankan banyak nyawa.

“Pengintipan yang dilancarkan ke atas KAM sepanjang berada di sekitar Bukit Bintang Kuala Lumpur dan Bandar Sungai Long Kajang, Selangor, berjaya mengesan dan mengenalpasti lain-lain operatif Al-Qaeda yang memasuki Malaysia lebih awal.

Mereka adalah Nawaf Al-Hazmi, Salah Saed @ Khallad Attash dan Ramzi Bin Al-Shibh.

“Khallad Attash adalah salah seorang daripada anggota Al-Qaeda yang terlibat dalam sera­ngan ke atas Kedutaan Amerika Syarikat di Tanzania dan Kenya pada 7 Ogos 1998 dan cubaan serangan ke atas USS The Sullivans di Aden, Yemen pada 3 Januari 2000 tetapi gagal kerana bot yang membawa bahan letupan tenggelam.

“Pada 12 Oktober 2000 iaitu selepas 11 bulan kehadirannya di Malaysia, Khallad Attash berjaya menyelaras operasi serangan berani mati ke atas USS Cole di Aden, Yaman,” katanya.

Beliau berkata, keempat-empat suspek berada di Malaysia dari 4 hingga 8 Januari 2000 merupakan operatif yang terlatih kerana tidak pernah menggunakan telefon di bilik hotel atau rumah penginapan untuk membuat panggilan.

Sebaliknya, katanya, mereka menggunakan telefon awam dan kafe internet di kawasan Bukit Bintang.

“Salah satu telefon awam yang sering digunakan oleh mereka adalah di hadapan Menara Maybank Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur.

“Kami berjaya mendapatkan toll records panggilan-panggilan yang dibuat di public phone tersebut dan dikongsi dengan perisikan AS.

“Nombor antarabangsa yang dihubungi termasuk beberapa negara Asia Barat antaranya yang mempunyai hubungan dengan operatif-operatif kanan Al-Qa­eda,” katanya.

Beliau berkata, salah satu nombor antarabangsa tersebut berasal dari Yaman milik Ahmad Al-Hada iaitu bapa mertua KAM.

Katanya, nombor telefon sama pernah dikesan mempunyai hubungan dengan sel Al-Qa­eda yang terlibat dalam serangan Kedutaan Amerika Syarikat di Tanzania dan Kenya pada 7 Ogos 1998.

“Apabila KAM, Khallad Attash dan Nawaz Al Hazim berlepas ke Bangkok pada 9 Jan 2000, semua maklumat mengenai penerbangan, pasport dan nombor-nombor panggilan antarabangsa yang mereka hubungi melalui public phone di kongsi dengan agensi perisikan AS.

“Tetapi agensi perisikan AS tidak menyalurkan semua maklumat itu dengan Federal Bureau of Investigation (FBI).

“Semua kelemahan dalam perkongsian inteligen di antara agensi perisikan Amerika Syarikat dengan FBI dinyatakan de­ngan jelas dalam 911 Commission Report.

“Ada dua buku, The Looming Tower oleh Lawrence Wright dan The Black Banners oleh Ali Soufan (bekas ejen FBI yang terlibat dalam siasatan ke atas serangan USS Cole dan 911) yang menceritakan dengan jelas kerjasama Cawangan Khas PDRM dalam perkongsian inteligen mengenai operatif-operatif Al-Qaeda yang terlibat dalam serangan 911,” katanya yang juga pegawai penyiasat siasatan ke atas KAM dan lain-lain operatif Al-Qaeda di Malaysia.

Katanya, Cawangan Khas merupakan agensi perisikan pertama yang berjaya membongkar sel-sel kumpulan Jemaah Islamiah (JI) di Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Australia dan Thailand.
Malah, katanya, kejayaan itu mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Meneruskan pemantauan ke atas Yazid Sufaat dan lain-lain anggota JI yang dikesan mempunyai hubungan dengan anggota Al-Qaeda tersebut.

“Satu laporan lengkap dihantar kepada Penolong Peng­arah Bahagian Inteligen Luar Cawangan Khas untuk terus memantau rakyat Malaysia tersebut.

“Daripada pemantauan ber­terusan tersebutlah kami dapat mengesan kewujudan kumpulan JI dan melancarkan operasi besar-besaran pada 11 Disember 2001,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×