ATM rombak silibus Palapes

ATM rombak silibus Palapes

MOHD. NIZAM JAFFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat rombakan terhadap silibus program Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) supaya lebih menarik, segar dan selari dengan perkembangan semasa sektor pertahanan bagi menarik lebih ramai penyertaan mahasiswa.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar mengakui penambahbaikan itu perlu dilakukan selepas mengambil kira silibus sedia ada yang agak membosankan dan kurang menarik perhatian mahasiswa universiti awam (UA).

Katanya, maklum balas itu diperolehnya sendiri berdasarkan lawatan di beberapa institusi pengajian tinggi awam yang melaksanakan program Palapes.

“Saya pernah buat spotcheck (pemeriksaan mengejut) di UA dan dapati silibus yang ada agak membosankan kerana mereka hanya didedahkan dengan kawad, kawad dan kawad. 

“Jadi saya jelaskan perlu masukkan silibus baru misalnya review film (ulasan filem), sejarah ketenteraan dan adat istiadat berkaitan, ini boleh tingkatkan minat dan hala tuju lebih jelas kepada seorang kadet palapes,” katanya pada sesi soal jawab  Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini. 

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Kepentingan Palapes Ke Arah Memperkasa Angkatan Masa Hadapan’. 

Mohd. Nizam berkata, proses rombakan silibus dibuat secara berterusan dengan ia dimuktamadkan selepas penelitian penuh dibuat. 

“Perkara ni sebenarnya ‘on going’, sesuatu silibus itu tak boleh dirombak sesuka hati, ada proses dikenal pasti dan kita perlu tengok apa yang nak dirombak. Sekarang ia sudah dikenal pasti dan akan dibuat (rombakan) bermula (sesi Palapes) yang akan datang,” katanya. 

Sementara itu, Mohamed Khaled pada sidang media memberitahu penambahbaikan itu turut bertujuan menarik minat lebih ramai mahasiswa untuk menyertai Palapes dan seterusnya menjadi anggota tetap mahupun simpanan ATM.   

Beliau berkata, pada ketika ini, perbandingan jumlah anggota tetap ATM dengan anggota simpanan masih jauh daripada sasaran ditetapkan.

“Jumlah keseluruhan anggota tetap ATM kini adalah 121,000 namun anggota simpanan hanya 34,000 orang sedangkan sasaran ditetapkan adalah nisbah 1:1.

“Kita akan usahakan untuk capai (sasaran ini), kerana itu kita beri perhatian antaranya dalam soal pengisian (silibus), bagaimana nak bangunkan minat mereka dan seterusnya apabila (tamat pengajian), mereka mahu sertai ATM. 

“Kita juga nak lihat mengapa (tak ramai yang tamat pengajian berminat sertai ATM), jadi kita akan lakukan tambah baik untuk bangunkan minat mahasiswa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN