KUALA LUMPUR: ASEAN terus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan dagangan utama China, dengan nilai perdagangan dua hala mencapai AS$772.2 bilion (RM3.24 trilion) pada 2024, mencerminkan kerjasama erat dan saling menguntungkan antara kedua-dua pihak.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ASEAN kekal komited sepenuhnya untuk terus memperkukuh hubungan ini melalui pelaksanaan berkesan perjanjian utama.
Katanya, ini termasuk Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta rangka kerjasama serantau penting yang lain.
“Dalam persekitaran global yang semakin kompleks, ASEAN dan China perlu terus menjunjung prinsip keterbukaan, inklusiviti dan multilateralisme.
“Prinsip-prinsip ini penting bagi memastikan perkongsian kita kekal relevan, berdaya tahan dan berpandangan jauh,” katanya pada Perundingan AEM-Kementerian Perdagangan China (MOFCOM) ke-24 sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan China, Yan Dong.
Menurut Tengku Zafrul, awal Mei lalu, ASEAN turut mengadakan Perundingan AEM-MOFCOM yang menyaksikan kedua-dua pihak menegaskan semula komitmen untuk menangani isu perdagangan dan menyelesaikan perbezaan berasaskan kesaksamaan, saling menghormati serta manfaat bersama.
Selain itu, beliau berkata, ASEAN dan China turut bersetuju untuk terus memanfaatkan kerjasama ekonomi bagi menghadapi gangguan perdagangan yang tidak menentu.
Sementara itu, ASEAN dan Korea Selatan bersetuju mempercepatkan rundingan untuk menambah baik Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-Korea dengan memuktamadkan skop perbincangan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.
Tengku Zafrul berkata, rundingan terbabit merangkumi kerjasama yang meliputi aspek rantaian bekalan, industri semikonduktor, mineral nadir bumi, pertukaran pegawai perdagangan serta bidang berkaitan transformasi digital dan teknologi hijau.
Katanya, kerjasama itu menjadi tonggak penting bagi memperkukuh kedudukan kedua-dua pihak sebagai rakan strategik yang dinamik dalam menghadapi cabaran global semasa.
“Kami telah bersetuju untuk memuktamadkan skop penambahbaikan FTA ASEAN-Korea Selatan. Hasratnya adalah supaya pengumuman rasmi dapat dibuat oleh pemimpin pada sidang kemuncak Oktober nant.
“Perbincangan antara ASEAN-Korea Selatan juga memberi tumpuan kepada isu geopolitik dan geoekonomi, dengan penekanan terhadap keperluan meningkatkan kerjasama perdagangan serta pelaburan yang lebih mampan,” katanya. – UTUSAN










