KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) sasar membuka sepenuhnya potensi modal persendirian di kalangan negara anggota ASEAN dengan penubuhan Majlis Pasaran Swasta ASEAN (APMC)
Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pro-tem APMC, Tan Sri Nazir Razak berkata, ASEAN-BAC menganggarkan sehingga AS$60 bilion (RM252.63 bilion) modal sepatutnya mengalir masuk ke dalam dana ekuiti swasta dan modal teroka di rantau ini.
Katanya, aliran modal itu terhalang oleh beberapa faktor struktur termasuk rangka kerja kawal selia yang berpecah-pecah sehingga menyukarkan pelaburan rentas sempadan, pembangunan dana tempatan dan serantau yang masih lemah, persekitaran keluar yang cetek serta penurunan selera pelabur global.
“Menurut kajian bersama McKinsey, pasaran swasta ASEAN hanya berjumlah 0.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jauh ketinggalan berbanding purata global iaitu 1.5 peratus.
“Jurang berkenaan dilihat membataskan ASEAN yang hanya beroperasi pada satu pertiga kapasiti dari segi pembiayaan kepada syarikat berinovasi dan berpotensi tinggi.
“Sehubungan itu, APMC yang disaran dalam kajian berkenaan bagi membangunkan platform serantau untuk membuka potensi modal swasta serta mengukuhkan ekosistem pasaran swasta,” katanya semasa pelancaran APMC di sini, semalam.
Dengan menangani halangan utama itu, APMC berhasrat memacu aliran pelaburan serantau serta menyediakan lebih banyak modal untuk syarikat pemula dan syarikat pertumbuhan di ASEAN.
Dalam pada itu, setakat ini lebih 20 institusi pasaran kewangan persendirian di rantau ini telah menyatakan komitmen sebagai ahli pengasas APMC.
Malaysia diwakili Persatuan Modal Teroka dan Ekuiti Persendirian Malaysia (MVCA) bersama pemain utama seperti Artem Ventures, Creador, Navis Capital Partners dan 500 Global.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, inisiatif itu akan memperdalam integrasi ekonomi ASEAN, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada syarikat pemula dan syarikat berpotensi tinggi.
“Pasaran persendirian serta dana modal teroka dan ekuiti persendirian mampu menyokong inovasi serta keusahawanan.
“Dengan adanya APMC, kerajaan-kerajaan ASEAN akan mempunyai rakan strategik untuk menarik pelaburan jangka panjang dan memacu pertumbuhan inklusif,” katanya.
APMC merupakan satu daripada 12 inisiatif utama ASEAN-BAC Malaysia sepanjang Kepengerusiannya tahun ini.
Ia diwujudkan bagi menangani beberapa cabaran struktur seperti peraturan berpecah antara negara anggota, kekurangan pengurus dana tempatan, pasaran keluar yang lemah serta penurunan minat pelabur global. – UTUSAN










