KEPALA BATAS: “Arwah anak sulung daripada dua beradik yang menjadi harapan keluarga dan pemergian mengejut ini amat memilukan”.
Demikian luahan Azlina Ali, 49, iaitu ibu kepada anggota tentera, Muhamad Haziq Adnan, 22, yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Shah Bandar, Taman Bertam Perdana di sini, semalam.
Azlina berkata, anaknya bertugas di Kem Terendak, Melaka dan pulang ke sini untuk bercuti sejak Jumaat lalu.
“Sebelum kejadian, arwah ada memaklumkan mahu keluar mengisi tayar angin motosikalnya menggunakan kereta milik ayahnya.
“Arwah keluar sekejap sahaja, namun tidak disangka begini pengakhirannya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kepala Batas di sini, hari ini.
Sementara itu, adik bongsu arwah, Nur Aleaya Maisara, 18, berkata, arwah Muhamad Haziq sepatutnya pulang ke kem hari ini.
“Arwah ada maklumkan yang dia sedang mengikuti kursus di Port Dickson, Negeri Sembilan sejak Jun lalu. Ada cuti sekejap, maka, arwah pulang untuk jenguk keluarga,” katanya.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lahar Tiang di sini dan diuruskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), petang ini.
Semalam, media melaporkan dua pemandu maut manakala seorang wanita cedera parah susulan nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Shah Bandar, Taman Bertam Perdana, Kepala Batas di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, Tan Kwang Sin, 56, iaitu pemandu Perodua Myvi turut maut di lokasi kejadian manakala Muhamad Haziq yang memandu Proton Iswara pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Seorang lagi mangsa iaitu wanita yang duduk di bahagian penumpang Perodua Myvi mengalami patah tangan kiri. – UTUSAN










