Cik Bunga sangat memahami perasaan seorang rakan industri seni yang terpaksa meluahkan rasa terkilan dengan sikap seorang pelakon veteran tanah air yang seorang ini.
Boleh sahaja Cik Bunga sebut namanya, tetapi nanti malu pula dia dan keluarganya. Bukan apa, sebelum ini disebabkan katanya sakit, maka ramai juga insan baik hati yang tampil membantu dan menghulurkan bantuan kepadanya.
Iyalah, khabar mengenai dirinya sedang sakit pun ramai yang tolong sebarkan dan uar-uarkan. Maka ramailah yang tahu keadaannya itu dan sedaya upaya cuba bantu apa adanya.
Dengarnya, boleh tahan banyak juga duit bantuan yang dia dapat. Tak apalah, betul lah, itu rezeki dia.
Tetapi, apa yang menyebabkan rakan industri Cik Bunga yang pernah bantu pelakon itu sebelum ini, dia jadi pelik pula apabila pelakon terbabit berulang-ulang kali menghantar mesej dan cuba menghubunginya untuk minta lagi bantuan kewangan.
Padahal, pelakon itu baru sahaja menerima bantuan daripada beberapa rakan industri lain yang sedia maklum dengan keadaan kesihatannya.Alasan kali ini, katanya, mahu beli ubat-ubatan.
“Peliklah saya Cik Bunga, ke mana dia leburkan duit bantuan yang dia dapat baru-baru ini? Baru saja dapat, tak akan sekelip mata sudah habis? Kemudian dia hubungi saya lagi merayu minta bantuan,” luah sumber.
Selain itu, Cik Bunga dengar, tindakan pelakon itu yang disifatkan ‘meminta-minta’ membuatkan ada persatuan anak seni mula mempertikaikan perkara itu.
Iyalah, kalau sudah terlalu kerap minta bantuan, walhal baru sahaja dapat sumbangan, orang pun jadi hairan. Lagi pula, bukan dia seorang sahaja artis yang sakit dan perlukan bantuan, ada ramai lagi yang perlu dijaga kebajikannya.
Cik Bunga harap, pelakon itu sisipkanlah sedikit sifat malu dalam diri. Lagi pula, dia masih ada keluarga dan anak-anak yang boleh bantu. Kenapa hendak harap duit orang?