LIVERPOOL: Penjaga gol Arsenal, David Raya mendakwa bola rasmi Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi punca dia gagal menyelamatkan sepakan percuma Dominik Szoboszlai ketika mereka tewas 0-1 kepada Liverpool di Anfield.
Penjaga gol Sepanyol berusia 29 tahun itu tidak mampu menahan rembatan kencang jarak jauh bintang Hungary tersebut pada minit ke-83, sekali gus meranapkan impian skuad Mikel Arteta Arsenal membawa pulang mata.
Raya mengeluh dengan perubahan daripada bola Nike kepada bola Puma musim ini, yang menurutnya memberi kesan besar kepada kawalan dan pergerakan bola.
“Ia berbeza dengan bola Nike, jadi kami kena biasakan diri. Cengkaman berbeza, sepakan pun berbeza. Kami perlu menyesuaikan diri selepas sekian lama bermain dengan bola Nike. Tapi ini sama saja untuk semua pasukan,” katanya.
Menurut Raya, walaupun kecewa dengan jaringan itu, Arsenal tetap menunjukkan karakter apabila berjaya mengekang Liverpool, khususnya sepanjang babak pertama.
“Saya kecewa tidak dapat menyelamatkannya, seperti setiap gol yang anda bolos. Tapi saya rasa ia satu rembatan hebat. Saya nampak bola itu banyak bergerak dan menjauh daripada saya. Harapnya, rembatan seterusnya saya boleh selamatkan.
“Bola baharu ini memang berbeza, ia bergerak banyak dan sukar dijangka,” katanya.
Keluhan Raya itu senada dengan Arteta, yang sebelum ini turut mengkritik bola Puma selepas kekalahan 2-0 Arsenal kepada Newcastle dalam Piala Liga pada Januari lalu.
“Bola ini banyak ‘terbang’. Kami juga kerap melepaskan sepakan tinggi melepasi palang, memang rumit,” kata Arteta. – AGENSI/UTUSAN