PETALING JAYA: Kewujudan sistem amaran awal bencana terutama yang membabitkan banjir, kepala air dan tanah runtuh menjadi tanda tanya apabila rakyat terus menjadi mangsa dalam beberapa kejadian beberapa hari lalu.
Bencana yang berlaku itu gagal dikesan oleh sistem amaran awal yang diuar-uarkan telah dipasang di 40 lokasi di seluruh negara setakat Disember tahun lepas.
Sistem tersebut yang dikatakan dilengkapi dengan sensor pergerakan, tolok hujan, kamera litar tertutup dan juga siren sepatutnya berfungsi memberi amaran kepada penduduk yang berhadapan dengan bencana alam di Hulu Langat pada 5 September lalu dan baru-baru ini 400 mangsa terperangkap dan kejadian kepala di Kuala Kubu Bahru.
Begitu juga dengan Janda Baik di Pahang yang pernah dilanda tragedi kapala air tidak lama dulu kembali dilanda dengan insiden itu hingga seorang bayi nyaris.
Jika sistem amaran awal wujud atau berfungsi sudah tentu tragedi ini dapat diramal lebih awal.
Lebih membimbangkan, insiden-insiden ini berlaku ketika negara sedang menghampiri musim tengkujuh dan menjadi ‘acara tahunan’ di beberapa kawasan di seluruh negara terutama di pantai timur.
Terbaharu, kejadian banjir berlaku di enam negeri iaitu di Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak melibatkan 3,278 mangsa dengan 988 keluarga.
Walaupun beberapa langkah diambil termasuk pembangunan dan pemasangan sistem ramalan dan amaran banjir, persoalan kini timbul di sebalik tahap keberkesanan sistem berkenaan yang dikatakan di bawah pengurusan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Ketua Kumpulan Penyelidikan Hidraulik dan Hidrologi, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ir. Dr. Nor Eliza Alias berkata, sistem amaran awal banjir perlu diperkukuh dengan teknologi lebih canggih dan kesedaran masyarakat yang tinggi kerana perubahan iklim serta aktiviti manusia kini meningkatkan risiko bencana lebih ekstrem.
“Ramalan banjir ketika ini masih banyak bergantung kepada ramalan cuaca yang diperoleh daripada pemodelan global dan serantau.
“Namun, ketepatan lebih tinggi di peringkat tempatan memerlukan teknologi seperti di Jepun yang menggunakan data radar serta analisis canggih untuk meramalkan pembentukan awan kumulonimbus dan hujan berintensiti tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nor Eliza berkata, pendekatan itu amat penting khususnya untuk meramalkan hujan bersifat short burst yang sering mengakibatkan banjir kilat.
Beliau berkata, sistem amaran yang memberi tumpuan kepada sungai berskala kecil juga mampu membantu ramalan lebih tepat melibatkan paras air, lead time serta kedalaman banjir melalui data hujan dan paras air masa nyata.
Katanya, ini akan meningkatkan tahap keyakinan terhadap amaran banjir sedia ada yang lebih bersifat serantau.
“Kajian mendapati penduduk di kawasan hotspot banjir lebih peka terhadap penggunaan platform amaran awal melalui media sosial atau aplikasi telefon pintar.
“Namun, di kawasan yang jarang dilanda banjir, masih ramai penduduk yang kurang cakna mengenai sistem amaran ini.
“Sedangkan perubahan iklim, perubahan guna tanah dan aktiviti manusia boleh menyebabkan kawasan baharu turut berisiko mengalami banjir lebih teruk berbanding sebelum ini,” ujarnya.
Pelbagai tindakan sebelum ini telah diambil agensi kerajaan termasuk pemasangan sistem siren amaran banjir
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, pemasangan sistem penggera amaran banjir disifatkan sebagai satu keperluan kritikal bagi membolehkan operasi bersifat proaktif.
“Sistem ini dapat merancang pra perancangan bencana dan menentukan kawasan berisiko tinggi bagi penumpuan jangkaan operasi; penempatan tempoh, pasukan dan peralatan yang bersesuaian di satu-satu kawasan.
“Selain itu, sistem ini juga dapat memperkemas kelancaran koordinasi antara agensi bagi mengoptimumkan sumber, minimumkan pertindihan tugasan dan mempercepatkan bantuan. Malah ia juga dalam memastikan penempatan dan penyusunan logistic serta sumber khususnya anggota berjalan lancer,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut Nor Hisham lagi, dengan adanya sistem tersebut, JBPM juga dalam memastikan pengurusan operasi yang responsive dan dapat bersedia sebelum banjir tiba di satu-satu kawasan.
“Pihak JBPM juga dapat meningkatkan keberkesanan misi menyelamat dan mangsa boleh dipindahkan dengan lebih teratur. Paling penting, kurang kecemasan di saat terakhir, jadi operasi lebih cepat dan selamat,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan cuaca tidak menentu yang melanda beberapa kawasan di seluruh negara sejak beberapa hari lalu dijangka berterusan sehingga Jumaat ini.
Jelasnya, berdasarkan data dan analisis model cuaca terkini, kelembapan atmosfera dijangka mula berkurangan selepas tarikh tersebut.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan cuaca tidak menentu yang melanda beberapa kawasan di seluruh negara sejak beberapa hari lalu dijangka berterusan sehingga Jumaat ini.
Jelasnya, berdasarkan data dan analisis model cuaca terkini, kelembapan atmosfera dijangka mula berkurangan selepas tarikh tersebut. – UTUSAN










