PETALING JAYA: Pelakon, Anzalna Nasir, meminta orang ramai agar berhenti mencipta drama tidak berasas antara selebriti Nur Fazura dan penyanyi, Amira Othman.
Tegas Anzalna atau Nur Anzalna Md Nasir, 37, kedua-dua figura itu merupakan wanita hebat maka tidak wajar sekiranya masyarakat terus membandingkan mereka berdua.
“Janganlah kita cipta drama yang tidak berasas, saya sangat menghormati Fazura dan Amira Othman. Mereka berdua ada keistimewaan masing-masing dan wanita hebat.
“Sebab itulah saya bersyukur untuk berkawan dengan mereka berdua,” tulisnya menerusi hantaran media sosial.
Anzalna berkata demikian apabila ada pihak yang mempertikaikan keberadaannya sebagai pengapit kepada Amira Othman semasa majlis resepsi dan ijab kabul penyanyi itu dan Fattah Amin pada Ahad.
Menurut mereka, Anzalna merupakan salah seorang sahabat kepada bekas isteri Fattah Amin iaitu Nur Fazura. Malah, pelakon itu juga pernah menitipkan doa ketika perkahwinan Fattah dan Fazura bergolak tahun lalu.
Selain Anzalna, selebriti lain yang turut menjadi pengapit kepada Amira Othman ialah Ernie Zakri, Qasrina dan Nabila Razali.
Untuk rekod, perkahwinan Fazura dan Fattah yang dibina selama tujuh tahun terlerai apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 6 Oktober tahun lalu.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dengan dikurniakan Nur Fatima yang kini berusia 5 tahun. –UTUSAN