PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan bahawa perkembangan politik di Indonesia dan Thailand tidak menjejaskan keyakinan pelabur terhadap rantau ASEAN yang disifatkannya sebagai kawasan paling aman di dunia.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia memantau rapat keadaan di kedua-dua negara berkenaan dan mendapati keadaan semakin stabil selepas beberapa perkembangan politik utama berlaku sejak kebelakangan ini.
“Setakat yang kita tahu, keadaan di Thailand agak stabil dengan Perdana Menteri baharu mereka dan kita mendoakan yang baik, kerana kestabilan adalah perkara paling penting.
“Dalam masa sama, semalam saya turut berhubung agak lama dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan keadaan di sana hampir kembali normal, saya fikir ia cukup stabil.
“Kita juga tidak melihat sebarang reaksi negatif daripada pelabur dan kita berharap keyakinan itu akan terus diberikan kerana saya sudah nyatakan bahawa ASEAN secara relatifnya adalah rantau yang paling aman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan di sini, hari ini.
Thailand sebelum ini berdepan ketidaktentuan politik susulan perubahan kepimpinan, manakala Indonesia kini mengalami krisis ketidaktentuan politik dan insiden rusuhan yang berlaku
Walaupun perkembangan itu menarik perhatian antarabangsa, Anwar menegaskan ia tidak menjejaskan kestabilan pasaran kewangan serantau mahupun aliran pelaburan.
Malah, beliau optimis keyakinan pelabur asing terhadap ASEAN akan terus kukuh memandangkan blok serantau itu mempunyai rekod cemerlang dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kerjasama ekonomi.
Sebagai anggota pengasas ASEAN, Malaysia sentiasa menegaskan bahawa kestabilan politik rantau ini adalah asas penting bagi menjamin daya tarikan pelaburan dan kesinambungan pertumbuhan ekonomi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai status Thaksin Shinawatra yang diarah menjalani hukuman penjara serta-merta dan peranan beliau sebagai penasihat tidak rasmi ASEAN, Anwar berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri baharu Thailand mengenai perkara itu.
“Tiada keperluan ambil apa-apa keputusan segera sehingga dia (Anutin) datang dalam tempoh singkat untuk bincang kerjasama dengan Thailand dan ASEAN.
“Peranan Thaksin tentunya terbatas kerana dia tidak bebas untuk berikan apa pandangan dan kerjasama,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Agung Thailand mengarahkan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dipenjara serta-merta untuk menjalani hukuman setahun.
Mahkamah memutuskan hukuman penjara yang dijatuhkan pada 2023 tidak dilaksanakan dengan betul dan kini tertuduh perlu menjalani baki hukuman penjara yang dielakkannya ketika dalam tahanan hospital. – UTUSAN