PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai pemimpin dan kenamaan asing pada perarakan Hari Kemenangan bagi memperingati 80 tahun berakhirnya Perang Dunia Kedua di Dataran Tiananmen, China pagi tadi.
Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tiba di dataran itu pada pukul 8.30 pagi dan disambut oleh Presiden China, Xi Jinping dan Peng Liyuan.
Acara peringatan yang disiarkan secara langsung oleh media China itu turut dihadiri oleh puluhan ribu pengunjung.
Jinping yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dan Pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusat turut menyampaikan ucapan dan memeriksa perarakan berkenaan.
Kementerian Luar China memaklumkan, sebanyak 26 pemimpin asing menghadiri perarakan ketenteraan berskala besar itu.
Antaranya termasuklah Presiden Russia, Vladimir Putin; Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Raja Kemboja, Norodom Sihamoni; Presiden Mongolia, Ukhnaa Khurelsukh; Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Pemangku Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing.
Perarakan itu membabitkan lebih 10,000 anggota tentera bersama lebih 100 pesawat dan ratusan aset ketenteraan darat yang disusun mengikut formasi sistem perintah waktu perang.
Sistem perkhidmatan dan senjata baharu Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) termasuk perisikan tanpa pemandu, peluru berpandu hipersonik, senjata tenaga terarah, sistem gangguan elektronik dan persenjataan strategik dipamerkan buat kali pertama pada perarakan itu, menonjolkan persenjataan canggih China. – UTUSAN