KUALA LUMPUR: Pelakon, Riezman Khuzaimi enggan melayan tuduhan netizen yang mengaitkan isterinya, Datuk Azie Sheikh Mohamed sebagai punca kejatuhan pengasas produk Kak Ton iaitu Dr. Zaiton Hassan.
Malah, kata Riezman, dia tidak perlu memberikan perhatian dengan komen netizen mengenai isterinya itu kerana terang lagi bersuluh dakwaan yang dilemparkan sebagai fitnah terang-terangan.
“Tentulah dakwaan ini tidak benar. Saya pun kalau boleh tidak mahu layan tuduhan-tuduhan seperti ini.
Malah produk pengasas tersebut pun tidak pernah bersaing dengan produk isteri saya.
“Sekarang ini semakin ramai orang yang minda mereka rosak, main ‘tembak’ sahaja tanpa mengetahui kesahihan cerita.
“Jadi saya abaikan. Yang buat cerita, mereka bebas menulis apa sahaja di media sosial. Perkara itu kita susah nak ubah.
“Apa pun saya dan isteri tak terkesan. Anggap sahaja dakwaan ini sekadar komen daripada mereka yang ‘gatal tangan’. Memang saya tak akan layan dan tak perlu pun saya ambil tindakan,” katanya.
Terdahulu, Zaiton menerusi sebuah rancangan podcast mendedahkan sebelum ini pernah menghidapi penyakit misteri kerana sihir.
Ramai pengguna media sosial yang tanpa usul periksa membuat tuduhan dengan mengaitkan kejadian menimpa Zaiton itu dengan Azie.
Susulan itu, Zaiton juga baru-baru ini tampil menafikan hubung kait Azie dengan situasi yang dihadapinya sejak tahun 2016 itu.
Riezman dalam pada itu memuji sikap isterinya yang sentiasa positif dalam berdepan pelbagai tuduhan di media sosial.
“Azie, sebelum saya berkahwin dengan dia, sudah diangkat sebagai ikon wanita.
“Saya mencontohi sikapnya yang selalu berfikiran positif, tak pernah termakan dengan komen-komen negatif orang lain.
“Kami baca komen di media sosial tetapi kalau yang tak elok dan keterlaluan itu kami abaikan,” ujarnya.- UTUSAN