KUALA LUMPUR: Selama 10 tahun hidup sendiri, penyanyi, Amelina mengakui hatinya tidak pernah tertutup untuk mencari pasangan hidup.
Menurut Amelina, dirinya kini sudah berada di tahap yang selesa untuk hidup seorang diri selain mahu fokus pada kerjaya dan menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu.
“Sepanjang 10 tahun hidup sendiri, saya memang fokus 100 peratus untuk membesarkan anak-anak dan mencari duit untuk menyara mereka. Apabila anak-anak sudah dewasa, saya jadi serba salah pula untuk memulakan sesuatu perhubungan.
“Saya tidak trauma, bahkan hati saya tidak pernah tertutup untuk mencari pasangan hidup. Anak-anak juga sudah beri lampu hijau untuk saya berkahwin lain.
“Tetapi untuk memulakan semula fasa itu saya rasa macam susah dan memenatkan. Apa yang saya boleh katakan saya selesa dengan kehidupan sekarang,” katanya.
Amelina berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis sidang media pengumuman Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’, pada Selasa.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Asyik itu mendedahkan dirinya juga pernah didekati lelaki berstatus suami orang sekali gus menjadi asbab dia lebih berhati-hati dalam perihal jodoh.
“Sebagai seorang wanita, sudah tentu saya mahukan seorang lelaki yang boleh menyayangi saya. Saya seorang yang manja. Tetapi kebanyakan yang saya jumpa seperti tidak ikhlas.
“Malah, saya juga pernah didekati oleh seorang lelaki yang berstatus suami orang. Kadang-kadang bila seorang wanita itu terlalu berdikari pun orang takut juga nak menjalinkan hubungan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Amelina bakal memeriahkan Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’ di Setia Spice Arena Pulau Pinang pada 6 Disember ini.
Selain Amelina, konsert kemunculan semula penyanyi dangdut Indonesia itu juga bakal diserikan dengan persembahan seorang lagi penyanyi dangdut tanah air iaitu Baby Shima.
Untuk info, Amelina berkahwin dengan Reduan Mahamood pada 26 April 1999 namun bercerai pada 29 Jun 2016.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nur’ Athirah, Putera Al’ Affiq, Putera Al’ Asyraff, Puteri Nur’ Asyurah, Putera Al’ Arffa, dan Putera Al’ Amzar.