PETALING JAYA: “Ini adalah salah saya dan sekali lagi, gagal menjadi ibu yang baik.”
Demikian luahan pelakon, Datin Atikah Suhaime selain trauma apabila anak perempuannya, Lula Mulan jatuh dari buaian elektrik.
Kata Atikah, kecuaian tersebut berlaku berpunca daripada silapnya memasang buaian itu.
“Tolong jangan beli buaian elektronik sebab Mulan jatuh.
“Sebenarnya ini kesilapan sendiri. Selepas suami lihat, saya pasang buaian itu dengan cara yang salah dan sudah gunakannya hampir tiga bulan,” katanya dalam InstaStory, baru-baru ini.
Dalam hantaran sama, pelakon drama Andai Itu Takdirnya itu lega puteri kesayangannya tudak mengalami kecederaan yang serius akibat kemalangan tersebut.
“Alhamdulillah dia okey. Mummy minta maaf. Tidak kira betapa banyak kerenah anak kalian, tak mengapa dan pegang sahaja mereka.
“Berhenti lakukan sebarang perkara, jaga anak kalian kerana mereka hanya membesar sekali sahaja.
“Saya sangat trauma dengan kejadian semalam tetapi melihat Mulan akhirnya makan bubur, sudah cukup memggembirakan saya,” katanya lagi.
Tambah Atikah, kejadian tersebut membuatnya bersimpati dengan situasi para ibu yang membesarkan anak tanpa pertolongan pembantu.
Jelas Atikah, kejadian tersebut turut membuatkannya terfikir bagaimana golongan ibu lain menjaga anak mereka seorang diri tanpa khidmat pembantu.
“Walaupun ada pembantu, saya hanya tinggalkan Mulan sekejap sahaja untuk tunaikan solat asar tetapi terjadi perkara sebegitu. Saya terfikir bagaimana ibu-ibu lain yang tiada pembantu.
“Bagaimana mereka jalani rutin kehidupan dengan bekerja tetapi dalam masa sama menjaga anak. Semoga ibu-ibu lain dilindungi Allah SWT,” kongsinya.-UTUSAN