PETALING JAYA: Cuti Hari Malaysia hari ini disambut dalam keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan serta ribut petir diramal melanda di beberapa negeri.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, ribut petir dan hujan dijangka berlaku pada sebelah pagi di kebanyakan kawasan di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.
“Beberapa negeri lain iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Labuan, Sabah dan Sarawak turut berpotensi mengalami hujan pada waktu sama.
“Di Sabah, hujan dijangka berlaku di Kudat, Pantai Barat dan pedalaman, manakala di Sarawak melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Sibu, Betong, Sarikei, Mukah dan Bintulu.
“Bagaimanapun, kawasan lain diramalkan kekal kering tanpa hujan,” kata kenyataan itu.
Pada sebelah petang, keadaan dijangka berlarutan dengan ribut petir serta hujan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Di Sarawak, hujan dijangka membabitkan kawasan Sibu, Bintulu, Kapit, Miri serta Limbang, manakala di Sabah meliputi Pantai Barat, pedalaman, Sandakan dan Tawau.
Bagi sebelah malam pula, beberapa negeri masih berpotensi mengalami hujan dan ribut petir termasuk Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.
“Di Sabah, ia melibatkan Pantai Barat, Sandakan dan Tawau, manakala di Sarawak pula Kapit, Miri dan Limbang. Negeri lain dijangka berada dalam keadaan cuaca baik tanpa hujan.
“Orang ramai dinasihatkan agar peka dengan perubahan cuaca serta berwaspada terutama ketika melakukan aktiviti luar sempena cuti Hari Malaysia,” katanya. – UTUSAN








