KOTA KINABALU: Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang agenda peribadi bagi menarik simpati berhubung insiden pagar rumahnya disimbah cat merah dan ditinggalkan sekeping nota bertulis perkataan “Datuk”.
Beliau berkata, insiden yang berlaku itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut kerana tidak mahu membuat sebarang andaian mengenai motif sebenar.
“Semalam polis sudah datang rumah tengok tempat simbahan.
“Saya tidak mahu buat apa-apa andaian. Yang pasti di pihak saya, saya tidak pernah buat pinjaman dengan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab seperti Ah Long dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, beliau juga tidak mempunyai musuh dalam politik kerana pendekatan sepanjang pembabitan dalam arena itu lebih menekankan kedamaian dan kesatuan.
“Saya juga tiada agenda peribadi untuk menarik simpati. Jadi saya tidak mahu buat sebarang andaian mengenai motif insiden ini,” jelasnya.
Ditanya sama ada kejadian berlaku itu berbentuk ugutan terhadap parti atau serangan individu, beliau menjelaskan sepanjang berkempen beliau tidak pernah menggunakan bahasa kasar, menyerang peribadi atau mencaci pihak lawan.
“Pada saya juga saya tiada musuh sebab politik dan kempen yang saya bawa lebih pada kedamaian dan kesatuan tanpa caci maki,” jelasnya.
Beliau berkata, sekiranya insiden itu mempunyai kaitan dengan politik berikutan hari Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin dekat, beliau tidak akan gentar atau mengundur ke belakang.
“Kalau ianya terkait politik, saya tidak akan rasa takut atau undur ke belakang. Pada saya, politik mesti terus berada dalam ruang kedamaian dan kesantunan. Politik ugut dan berbentuk ancaman perkara yang sudah lapuk,” katanya.
Semalam, Aliakbar menerusi hantaran di Facebook mendedahkan pagar rumahnya disimbah cat merah selain ditinggalkan nota bertulis ‘Datuk’. Beliau membuat laporan polis kerana bimbang ia membawa maksud ancaman atau ugutan.
Laporan dibuat bagi meminta siasatan dijalankan berhubung kemungkinan wujud unsur khianat serta demi memastikan keselamatan dirinya dan keluarga.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak menuduh mana-mana pihak serta berharap insiden seumpama itu tidak berulang lagi pada masa hadapan. – UTUSAN








