PETALING JAYA: Selepas bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mendakwa menerima ugutan video lucah berunsur kecerdasan buatan (AI) bersama ugutan bayaran USD100,000, kini giliran Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Taufiq Johari pula menjadi mangsa taktik sama.
Ahli Parlimen Sungai Petani itu mendedahkan beliau diugut menerusi e-mel mengandungi video lucah palsu menggunakan teknologi AI yang memaparkan wajahnya.
Menurut Taufiq, video berkenaan jelas disunting dengan niat jahat untuk menjatuhkan maruah dan integritinya sebagai wakil rakyat.
“Pada 12 Sept lalu, saya menerima emel daripada akaun yang dikenali. Emel itu mengandungi video lucah yang memaparkan gambar saya, namun ia disunting menggunakan teknologi AI.
“Dalam e-mel itu juga, saya diugut untuk membayar USD100,000 bagi mengelakkan video itu disebarkan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Rafizi turut mendedahkan beliau menjadi sasaran cubaan pemerasan melalui video lucah palsu dihasilkan menggunakan AI, dengan tuntutan bayaran mencecah USD100,000.
Taufiq menegaskan tindakan itu bukan sahaja satu cubaan memeras ugut, malah jenayah siber serius yang menggunakan teknologi moden bagi menyebarkan fitnah dan pornografi palsu.
Menurutnya, beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya siasatan segera dijalankan terhadap penyalahgunaan teknologi AI dalam cubaan memfitnah dirinya.
Beliau juga berhasrat membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat meneliti punca serta dalang di sebalik e-mel berkenaan.
“Saya menyeru orang ramai lebih berwaspada dengan sebarang bentuk ugutan atau penipuan melalui internet.
“Penyebaran kandungan palsu sebegini bukan sahaja boleh menjatuhkan maruah individu, malah mengancam keselamatan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.-UTUSAN










