INCHEON: Agensi bakat kumpulan Seventeen, PLEDIS Entertainment, memohon maaf secara terbuka berikutan insiden letupan bunga api di Konsert Seventeen World Tour (New) di Incheon, pada Sabtu.
Jelas mereka menerusi satu kenyataan, letupan bunga api itu merupakan kejutan buat penonton di segmen terakhir konsert namun tidak menyangka terdapat kesalahan teknikal membuatkan serpihan letupan mengenai penonton.
“Walaupun pemeriksaan mengenai jarak dan arah letupan telah diuji dan dilakukan pemeriksaan keselamatan oleh pihak profesional berulang kali sebelum konsert. Namun insiden ini berlaku disebabkan terdapat beberapa kecacatan dalam produk.
“Kami ingin memohon maaf kepada semua penonton yang terkejut atau mengalami ketidakselesaan akibat situasi tidak diduga ini,” tulis mereka.
Dua orang penonton disahkan mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan segera di klinik yang disediakan penganjur semasa konsert berlangsung. Mereka juga telah pulang ke rumah masing-masing dengan selamat.
Malah,PLEDIS turut memberi jaminan akan membiayai sepenuhnya rawatan susulan yang diperlukan oleh mangsa.
Sebagai langkah pencegahan, produk yang menyebabkan insiden tidak akan digunakan dalam konsert berikutnya yang dijadualkan berlangsung pada 14 September.
Pemeriksaan keselamatan tambahan juga akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan penonton lebih terjamin.
“Kami akan terus menjadikan keselamatan penonton sebagai keutamaan utama dan berusaha menyediakan persekitaran konsert yang lebih selamat pada masa hadapan,” tambah kenyataan itu.
Untuk rekod, konsert tersebut merupakan sebahagian daripada jelajah dunia Seventeen, dihadiri ribuan peminat dari seluruh dunia. Selain Incheon, Seventeen akan membuat persembahan di Hong Kong, Los Angeles, Washington dan Jepun. -UTUSAN