KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Aishah, 60, berpandangan ketiadaan ilmu pengetahuan dalam bidang nyanyian membuatkan ramai pihak yang salah menilai kebolehan seseorang penyanyi.
Kata Aishah, lebih menyedihkan lagi apabila golongan yang tidak berilmu dalam bidang berkenaan bebas memberi komen di media sosial dan mempengaruhi orang lain dengan pandangan mereka.
“Cara nyanyian juga ada trend semasa. Penyanyi zaman saya kebanyakannya berada dalam kategori belters kerana sering diberikan lagu yang bernada tinggi.
“Zaman sekarang pula berbeza. Ramai penyanyi yang muncul sekarang menggunakan teknik campuran suara (mix voice). Mereka belajar teknik itu daripada kelas nyanyian yang mereka sertai.
“Jadi pendengar sekarang yang terbiasa mendengar cara penyanyi sekarang menggunakan teknik mix voice, akan menganggap saya dan penyanyi yang bersuara lantang ini, sebagai menjerit ketika menyanyi lagu tinggi.
“Sebab itulah saya katakan, perlu ada ilmu sebelum memberi pandapat mengenai cara nyanyian penyanyi lain agar tidak berkongsi pandangan yang salah,” katanya.
Penyanyi lagu Camar Yang Pulang ini dalam masa yang sama tidak menafikan penyanyi berpengalaman sepertinya juga perlu mengikuti peredaran semasa, memahami citarasa pendengar kini untuk kekal relevan.
“Situasi sudah berubah, citarasa pendengar sekarang ini juga berlainan.
“Sebagai penyanyi lama, saya kena ikut arus perubahan, mendalami perkembangan muzik semasa.
“Sebab itu, lagu baharu saya, Taman Keabadian disesuaikan dengan kehendak dan citarasa pendengar sekarang,” kongsinya. – UTUSAN