Abuya mengaku tidak bersalah amang seksual pelajar lelaki

Abuya mengaku tidak bersalah amang seksual pelajar lelaki

MOHAMAD Aswadi Yah (bergari) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, semalam. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang mudir pondok di Tumpat, dekat sini dikenali sebagai Abuya me­ngaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas enam lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun.

Tertuduh, Mohamad Aswadi Yah, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki yang berusia 14 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di ruang tamu sebuah rumah dan masjid di sebuah madrasah di Kubang Batang Tumpat antara pukul 12.30 te­ngah hari hingga 5.30 petang bermula 3 Mac hingga 9 Jun lalu.

Bagi keenam-enam pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum bawah Seksyen 14 Akta Yang Sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Na’ilah Harizan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Irwan Sumadi.

Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah memohon mahkamah menge­nakan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan amang seksual.

Mohd. Irwan bagaimanapun memohon jaminan minimum memandangkan anak guam­nya telah dikenakan jaminan RM45,000 selepas berdepan tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki selain memiliki gambar lucah di mahkamah yang sama pada 11 September lalu.

“Anak guam saya juga dikenakan jaminan RM18,000 untuk kes pada tarikh 18 September lepas di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN