Abu Sahid, Wee Leong berdepan 19 lagi pertuduhan

Abu Sahid, Wee Leong berdepan 19 lagi pertuduhan

ABU SAHID MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengarah Maju Holdings Sdn. Bhd. dan bekas pengarah sebuah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah atas 19 lagi pertuduhan melibatkan butir matan palsu, pemindahan wang haram dan penyalahgunaan dana berjumlah RM754.6 juta pada 2017 dan 2018.

Tertuduh, Tan Sri Abu Sahid Mohamed dan Datuk Yap Wee Leong membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan ke atas mereka di Mahkamah Se­syen di sini semalam.

Bekas pengarah, Wee Leong dihadapkan dengan sembilan pertuduhan butir matan palsu dan sembilan pertuduhan pemindahan wang haram melibatkan syarikatnya masing-masing berjumlah RM220,727,293 dan RM388,348,702.02 dekat sebuah cawangan bank di sini.

Transaksi tersebut didakwa melibatkan kerja-kerja pembinaan seperti pembersihan kawasan, kerja sementara, kerja tanah, kerja perparitan, kerja geoteknikal dan kerja turapan antara November 2017 hingga Ogos 2018.

Sementara Abu Sahid pula dituduh menyalahgunakan wang berjumlah RM145,550,000 yang dibayar ke akaun syarikat berkenaan antara 12 Januari hingga 13 Jun 2018 dekat sebuah cawa­ngan bank di Serdang.

Wee Leong dituduh di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama iaitu dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Di bawah Akta Pencegahan, Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Akti­viti Haram 2001; Wee Leong, 68, dituduh di bawah Seksyen 4(1)(b) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil akti­viti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

Abu Sahid pula dituduh di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib memohon kesemua pertuduhan dihadapi kedua-dua tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kes yang disebut sebelum ini.

Beliau juga memohon jaminan sama terhadap kedua-dua tertuduh masing-masing berjumlah RM1 juta dan RM1.5 juta beserta syarat tambahan seperti ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur digunapakai.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Abu Sahid dan Abdul Hakeem Aiman yang mewakili Wee Leong tidak membantah cadangan tersebut.

Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin kemudiannya membenarkan kesemua permohonan pihak pendakwaan.

Utusan Malaysia pada 8 September lalu melaporkan Abu Sahid mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pecah ama­nah berjumlah lebih RM300 juta dan 13 pengubahan wang haram membabitkan lebih RM100 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN