Abu Sahid berhadapan tuduhan pecah amanah, ubah wang haram

Abu Sahid berhadapan tuduhan pecah amanah, ubah wang haram

Abu Sahid Mohamad sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur atas pelbagai pertuduhan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat konsesi lebuh raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM139 juta.

Kesemua pertuduhan membabitkan cadangan projek Pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi projek sambungan Lebuhraya Maju (MEX II) oleh pihak Maju Holdings Sdn Bhd.

Pengarah Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamad, 74, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang milik syarikat berkenaan berjumlah lebih RM313 juta di antara 2016 hingga 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Abu Sahid turut didakwa atas 13 pertuduhan pengubahan wang haram dengan memindahkan serta melupuskan lebih RM139 juta hasil daripada aktiviti haram melalui beberapa transaksi ke akaun individu dan syarikat dalam tempoh sama.

Pertuduhan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah wang haram atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib, mencadangkan jaminan RM1.5 juta dengan seorang penjamin warganegara tempatan serta pasport tertuduh disimpan oleh mahkamah.

Cadangan itu dipersetujui pihak pembelaan yang diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Mahkamah kemudian menetapkan jumlah ikat amin yang sama dan menetapkan 3 November ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita pelbagai aset bernila kira-kira RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Antara barangan yang disita ialah beg tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan dan wang tunai selepas Bahagian Siasatan SPRM menggeledah dua kediaman milik individu itu di ibu negara pada Mei lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×