Abah Saya Uncle Mike: Yang tumbuh daripada retak curiga - Utusan Malaysia

Abah Saya Uncle Mike: Yang tumbuh daripada retak curiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA sendiri tidak tahu mengapa, ada magis lain daripada mata seorang kanak-kanak ketika mereka menyampaikan cerita. Oleh itu, secara peribadi, akan selalu ada soft spot setiap kali saya menonton mana-mana filem yang digerakkan oleh kanak-kanak sebagai pelakon utama (yang baik) lebih-lebih lagi jika ia sebuah naskhah slice of life. Sentuhannya lebih berbeza.

Abah Saya Uncle Mike (ASUM) diserahkan di atas bahu Ezrie Ghazali sepenuhnya berbekalkan pengalaman sebagai kru dan penulis skrip lebih daripada lapan tahun. Ezrie bertanggungjawab duduk di kerusi pengarah juga melengkapkan skrip bersama pasukannya Muzzamer Rahman, Nik Naemah, Kyle Goonting, Yoke Yeng, Catalina Mae Hubbard dan Samuel Sin.

ASUM diilhamkam daripada kisah benar penerima Anugerah Maulidur Rasul 2024, Michael Tong Wai Siong atau Uncle Mike yang menjaga tiga orang anak lelaki bangsa Melayu. Ia mencabar dan menarik pada masa sama kerana karakter yang terlibat masih hidup, juga filem ini sepatutnya menjadi naskhah penghormatan atas kebaikan yang dilakukan Mike kepada tiga beradik Rafie, Rasyid dan Rahman.

Saya melihat naskhah slice of life yang baik selalu bergantung kepada dua perkara. Pertama, kerapuhan atau remuk-redam karakter, seterusnya momen-momen yang nampak kecil tapi meninggalkan jejak besar, semacam after taste dalam diri penonton selepas layar ditutup.

Dalam memastikan kedua-dua sifat ini menyempurnakan cerita, ia memerlukan perenungan dan pemerhatian yang sangat dalam daripada para pembikinnya.

ASUM bagi saya dimulakan dengan prestasi yang cemerlang untuk act pertama. Setiap pemilihan momen terasa mencengkam kerana banyak dibantu oleh persembahan pelakon yang tepat Idan Aedan, Umar Shakur dan Nor Merah.

Bahkan ketika saya menulis artikel ini pun, saya masih merasa after taste adegan Rafie, lakonan cemerlang Idan Aedan meraung di balik bilik berkunci melihat adiknya dibawa pergi.

Namun malangnya, graf momentum dan gaya bercerita ASUM perlahan menurun apabila kurang memberikan perasaan sepatutnya pada momen yang kritikal terutama pertemuan Rafie dan Mike di rumah anak yatim.

Adegan itu sepatutnya ditampilkan lebih cermat dengan merakam lebih jelas reaksi wajah Rafie dan Mike, ia tidak sepatutnya berlaku tergesa-gesa. Bukan itu sahaja, tiada masalah memilih cara penceritaan mengikut kronologi.

Cuma ada beberapa ketika saya berharap proses bercerita ASUM akan lebih berencam, jungkir balik peristiwa kecil dan bermakna yang memberikan lebih kuat rasa rindu antara Rafie kepada adik-beradiknya. Apalagi itu kali pertama dia beraya tanpa mereka.

Saya faham akan keadaan naskhah ini yang mahu menjaga reputasi Uncle Mike yang masih hidup.

Namun begitu, saya fikir tiada masalah untuk tetap menunjukkan sisi rapuh Uncle Mike dalam eksplorasinya menjadi seorang bapa ekspres. Remuk-redam, kekeliruannya dan usahanya memahami agama anak-anaknya selain daripada konflik keluarganya.

Abah Saya Uncle Mike bagi saya sebuah naskhah yang selamat, namun sekadar penyentuh di permukaan perasaan. Ia tidak pergi terlalu dalam kerana untuk melakukan itu, mereka memerlukan perenungan yang tajam. Jika mahu melakukan itu pula, pembikin memerlukan masa yang lama, kecuali jika mereka pernah begitu dekat dengan mangsa penderaan.

Bagaimanapun, sebuah filem yang dihasilkan sebenarnya menunjukkan kepada kita apa yang ada dalam hati dan isi kepala seorang pengarah.

Dari kerusi penonton, saya faham apa yang ingin disampai Ezrie Ghazali daripada naskhah sulungnya. Dia percaya, ada kebaikan yang tumbuh daripada retak-retak curiga antara manusia. Itulah kemenangan paling besar di dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN