KUALA LUMPUR: “Semoga Allah sembuhkan dia.”
Demikian doa yang dititipkan pelakon, Azeva Natassha untuk ibunya iaitu penerbit terkenal, Datuk A. Aida yang masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di ibu negara.
Azeva menerusi perkongsian di Instagramnya memaklumkan ibunya masih bertarung nyawa di ICU justeru berharap agar orang ramai mendoakan kesembuhannya.
“Dengan rasa dukacita dan rendah hati, saya ingin memohon jasa baik semua untuk mendoakan ibu saya, Zaidah Awang yang kini berada di ICU.
“Semoga Allah S.W.T melimpahkan rahmatnya, mengurniakan kesembuhan yang segera, menghapuskan segala sakit dan penderitaan serta memberikan kekuatan kepada beliau untuk kembali sihat.
“Semoga doa kita semua diperkenankan oleh-Nya dan ibu saya diberi peluang untuk terus bersama keluarga yang amat menyayanginya. Amin ya rabbal alamin,” tulisnya.
A. Aida yang baru menjalani pembedahan lutut Selasa lalu dimasukkan ke ICU selepas rebah ketika melakukan sesi fisioterapi baru-baru ini.
Menurut pendakwah terkenal yang juga rakan baik beliau, Profesor Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff, penerbit tersebut masih ditidurkan dan keadaannya dipantau rapi pihak hospital. – UTUSAN