PUTRAJAYA: Lebih 70 peratus kes buli direkodkan di sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan ia dilaporkan meningkat dalam tempoh tiga tahun lalu sejak 2022.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Dr Farah Nini Dusuki mendedahkan data berkenaan yang diperoleh menesrusi Statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) KPM bagi tahun 2022, 2023 dan 2024.
Farah Nini berkata, SSDM KPM merekodkan sebanyak 3,883 kes buli pada 2022 sebelum melonjak kepada 6,528 kes pada 2023 dan terus meningkat kepada 7,681 kes tahun ini.
Menurutnya, berdasarkan data itu, sekolah menengah merekodkan kes buli tertinggi iaitu 3,064 kes pada 2022, 5,418 kes (2023) dan 5,689 kes (2024).
“Kes buli di sekolah rendah juga turut meningkat daripada 819 kes pada 2022 kepada 1,110 kes (2023) dan 1,992 kes (2024),” katanya ketika membentangkan laporan pada Sesi Townhall Anti Buli di sini, hari ini.
Katanya, trend peningkatan kes itu memberi isyarat jelas bahawa isu buli bukan lagi kes terpencil, sebaliknya memerlukan campur tangan serius di peringkat dasar dan pelaksanaan.
Jelasnya lagi, semua pihak tidak boleh memandang ringan isu buli kerana ia bukan sahaja menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak, malah memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan emosi serta masa depan mereka.
Dr Farah Nini berkata, usaha menggubal RUU Antibuli 2025 amat penting bagi memastikan kanak-kanak dilindungi dengan lebih berkesan.
Katanya, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 pula mendedahkan antara bentuk buli direkodkan termasuk ejekan rupa bentuk badan atau wajah.
“Daripada 33,523 responden terdiri daripada pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun mendapati 26.7 peratus daripada mereka diejek rupa bentuk badan atau wajah, 16 peratus diejek melalui jenaka, komen atau isyarat berbentuk seksual.
“Selain itu, 13 peratus dibuli dengan cara ditinggalkan daripada aktiviti dengan sengaja atau diabaikan sepenuhnya, 11.7 peratus pula diejek kerana bangsa, kewarganegaraan atau warna kulit dan lain-lain bentuk buli 20.2 peratus,” katanya.
Katanya, Akta Anti Buli penting kerana kes buli meningkat setiap tahun selain ia memberi kesan serius kepada kanak-kanak kerana menyebabkan kemurungan, ponteng sekolah dan risiko bunuh diri. – UTUSAN