56 pegawai anggota elit PDRM, ATM tamat kursus CCT dan sniper - Utusan Malaysia

56 pegawai anggota elit PDRM, ATM tamat kursus CCT dan sniper

MOHD. Khalid Ismail menyampaikan sijil kepada peserta Kursus Counter Terrorist Team (CTT) serta Kursus Sniper 69 Komando di Kem Sultan Nazrin Shah, 69 Komando Ulu Kinta di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai enam pegawai bersama 50 anggota pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menamatkan Kursus Counter Terrorist Team (CTT) serta Kursus Sniper 69 Komando hari ini.

Kursus CCT yang bermula pada 15 Jun lalu itu disertai seramai 28 anggota 69 komando dan dua anggota masing-masing daripada Gerup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Khas Udara (Paskau) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sementara itu, Kursus Sniper 69 Komando yang bermula pada 29 Jun pula membabitkan penyertaan 20 anggota 69 Komando bersama dua anggota Paskal.

Majlis Penutupan Kursus CCT dan Kursus Sniper 69 Komando Siri 1/2025 itu disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail di Lapang Sasar Terbuka 1.2KM di Kem Sultan Nazrin Shah, 69 Komando Ulu Kinta, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan/Operasi), Datuk Fisol Salleh; Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Kamaruzaman Abdullah dan Timbalan Ketua Polis Perak, Mohammad Azlin Sadari.

Pada majlis itu, Mohd. Khalid turut menerima Penganugerahan Beret Kehormat 69 Komando dan Sayap Penerjunan Kehormat.

Berucap pada majlis itu, Mohd. Khalid berkata, majlis pentauliahan serta penyematan lencana yang diadakan hari ini bukan sekadar acara penutupan latihan tetapi sebagai simbolik pencapaian, pengorbanan dan kecekalan para wira negara yang berjuang demi kedaulatan tanah air.

Katanya, kedua-dua kursus itu bukan sahaja mencabar ketahanan fizikal malah menguji kesabaran, disiplin, ketajaman mental serta daya tahan emosi yang cekal.

“Kursus ini meliputi kemahiran menembak, serbuan taktikal, operasi tempur jarak dekat dan simulasi krisis keselamatan ekstrem.

“Kejayaan menamatkan kursus ini bukan hanya satu pencapaian peribadi sebaliknya merupakan amanah besar untuk terus kekal cemerlang dalam mempertahankan benteng pertahanan keselamatan negara,” katanya.

Menurut beliau, penyertaan ‘pasukan sahabat’ daripada ATM melibatkan GGK, Paskal dan Paskau menunjukkan semangat integrasi serta solidariti kukuh antara agensi keselamatan utama negara.

Katanya, kerjasama strategik PDRM dan ATM diyakini dapat memperkukuh pemberdayaan sumber manusia dan kolaborasi bersepadu demi memastikan negara aman, selamat dan berdaulat.

“Diharapkan platform strategik seumpama ini dapat menyatukan doktrin, taktikal dan kefahaman pasukan khas keselamatan di bawah Jawatankuasa Kerja Latihan (JKKL) PDRM dan ATM.

“Program ini adalah kunci perpaduan PDRM dan ATM dalam menghadapi ancaman asimetrik dan ekstrem,” katanya.

Sementara itu, Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Hamzah Hashim berkata, kursus yang disertai peserta kali ini adalah lanjutan bagi anggota yang telah ditauliahkan sebagai infantri komando.

Katanya, dalam fasa ini, para peserta dilatih dengan kepakaran Counter Urban Terrorist Operation dan Fighting in Built-Up Area (FIBUA) iaitu seni peperangan moden yang menuntut ketangkasan, kepantasan membuat keputusan, serta kecekapan bertindak dalam tekanan yang ekstrem di kawasan bandar dan berstruktur.

“Selepas ini, para peserta akan ke fasa seterusnya iaitu Sea Combat (SECOM) yang menekankan penguasaan operasi pertempuran aras dan bawah permukaan air dan seterusnya Kursus Taktikal Payung Terjun.

“Sepanjang proses ini, mereka didedahkan dengan pelbagai ancaman kontemporari dengan kemahiran hantaran melalui darat, laut dan udara bagi melahirkan Infantri Komando yang versatil sekali gus menjadikan unit ini satu unit yang multispektrum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN