TAIPING: Seramai 2,900 peserta dari 64 negara menyertai cabaran Larian Denai UTMB 2025 yang bermula awal pagi ini.
Cabaran antarabangsa itu melibatkan laluan denai mencabar merentasi persekitan hutan hujan tropika dan laluan berbukit di sekitar Taiping dengan acara pelepasan pada pukul 3 pagi ini.
Pada saingan kali ini, ketiadaan pelari handalan China, Duo Ji, membuka ruang luas buat rakan senegara, Bai Xingzhi, untuk memburu gelaran juara.
Xingzhi, 34, yang pernah muncul naib johan sebanyak dua kali sebelum ini berkata, pengalamannya menyesuaikan diri dengan cuaca tropika dan laluan teknikal di negara ini menjadi faktor kelebihan untuk tampil lebih cemerlang.
“Dua kali saya datang, saya hanya mampu raih tempat kedua. Tahun ini saya sudah lebih biasa dengan laluan dan keadaan cuaca di sini.
“Dengan persiapan rapi, saya percaya peluang untuk meraih gelaran juara memang ada,” katanya pada sesi suai kenal peserta di Dataran Warisan Taiping, hari ini.
Pelari berpengalaman itu turut menyasarkan masa sekitar 11 jam selepas mencatat kira-kira 12 jam pada dua penyertaan lalu.
Menurutnya, sedikit perubahan laluan dengan pendakian lebih awal dijangka membantu peserta mengagihkan tenaga dengan lebih baik.
“Pelari tempatan mempunyai kelebihan daya tahan terhadap cuaca panas, manakala pelari antarabangsa berpeluang bersaing sekiranya melakukan persiapan secukupnya,” katanya.
Sementara itu, pelari dari Pulau Pinang, Sua Yih Huan, 45, bertekad untuk menguji kemampuan diri dengan beraksi dalam kategori 100 kilometer selepas meraih tempat ketiga dalam kategori 50 kilometer tahun lalu.
“Persediaan utama saya ialah latihan haba setiap hari serta berlari di laluan berbukit dan teknikal sekitar Pulau Pinang. Tahun lepas saya tamatkan 50km dengan podium, jadi kali ini saya cabar diri untuk 100km. Sasaran saya ialah menamatkan larian sekitar 13 jam,” katanya.
Bagi kategori wanita, penampilan sulung Rajlen James, 37, dari Sabah bakal mencuri perhatian apabila beliau menyasarkan catatan peribadi sekitar 17 jam.
Surirumah itu bertekad menamatkan saingan dengan penuh semangat sekali gus mengutip pengalaman berharga pada kejohanan ularian denai UTMB bertaraf dunia tersebut. – UTUSAN